Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 gerai di Bazar Raya Utara, termasuk peserta program niaga mikro

Diadakan di Sembawang dan Woodlands hingga 29 Mac dengan hiasan lampu
Feb 23, 2025 | 8:00 PM
(Barisan depan, lima dari kiri) Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Encik Vikram Nair, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, Cik Mariam Jaafar dan Dr Lim Wee Kiak bersama relawan di acara pelancaran Bazar Raya Utara pada 23 Februari.
(Barisan depan, lima dari kiri) Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Encik Vikram Nair, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, Cik Mariam Jaafar dan Dr Lim Wee Kiak bersama relawan di acara pelancaran Bazar Raya Utara pada 23 Februari. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Penduduk di utara Singapura boleh menikmati lebih banyak kemudahan dan kelainan pada Ramadan ini dengan pelancaran Bazar Raya Utara, yang menyediakan lebih 100 gerai, di dua lokasi – Sembawang dan Woodlands.

Dianjurkan buat tahun kedua berturut-turut, konsep bazar dua lokasi itu berlangsung dari 21 Februari hingga 29 Mac. Bazar Raya Utara di Sembawang (BRU@SB) menawarkan 25 gerai, manakala Bazar Raya Utara di Woodlands (BRU@WL) menyediakan 92 gerai.

BRU@SB terletak di tanah lapang di sebelah Stesen MRT Sembawang, manakala BRU@WL terletak bertentangan stesen MRT Admiralty.

Bazar itu dilancarkan pada 23 Februari oleh penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC Sembawang selaku Anggota Parlimen (AP) kawasan undi tersebut – Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, Cik Mariam Jaafar, Dr Lim Wee Kiak, dan Encik Vikram Nair.

Susulan pelancaran tersebut, AP itu melancarkan Lampu Jalan BRU 2025, yang menyinari jalan raya sepanjang Woodlands Avenue 6 dan Woodlands Avenue 7.

Bercakap kepada media selepas pelancaran itu, Cik Mariam berkata Bazar Raya Utara telah muncul sebagai salah satu bazar Ramadan terbesar dan paling digemari, yang menarik pengunjung tetap dari seluruh kawasan utara Singapura dan kawasan lain.

“Melalui bazar ini, anda benar-benar dapat rasa semangat kampung dan sokongan bersama antara penjual dan penduduk.

“Kami amat gembira dapat melihat penglibatan beberapa perniagaan dari rumah (HBB) di gerai masyarakat kami pada tahun ini.

“Kami menghargai usaha kolektif jawatankuasa penganjur, sukarelawan dan rakan kongsi kerana membawa suasana Bazar Ramadan lebih dekat lagi kepada penduduk kami,” kata Cik Mariam.

BRU@SB akan turut menampilkan gerai yang dijalankan oleh Program Perniagaan Mikro Woodlands, satu inisiatif yang dibangunkan bagi melengkapkan penduduk GRC Sembawang dengan kemahiran dan peluang keusahawanan.

Pada 2025, seramai sembilan peserta telah menamatkan pengajian dalam program itu, menandakan satu peristiwa penting dengan penyertaan peserta lelaki buat kali pertama.

Pengerusi BRU@SB, Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid, berkata beliau teruja dengan kemajuan Program Perniagaan Mikro itu.

“Penglibatan peserta lelaki dan peluang untuk graduan menyertai Bazar Raya Utara 2025 menandakan satu langkah penting dalam misi kami memupuk keusahawanan tempatan,” kata Encik Harmizan.

Di BRU@WL, penduduk boleh menikmati pelbagai jenis gerai yang terdiri daripada pilihan makanan dan minuman serta tawaran runcit.

Penduduk juga akan mendapat peluang menyokong perniagaan tempatan dan membeli barangan buatan tangan, pakaian, aksesori dan produk hiasan rumah daripada peniaga.

Pengerusi BRU@WL, Cik Deanna Shaharuddin, berkata bazar itu telah menjadi ruang perhimpunan meriah di mana semangat kemasyarakatan menyerlah, selain tempat untuk orang ramai membeli-belah.

“Lokasi yang dekat ini amat memberi manfaat kepada keluarga yang sibuk dan warga emas. Mereka juga boleh menikmati suasana perayaan dan melengkapkan persiapan Ramadan dengan mudah.

“Ia juga merupakan tempat untuk menyokong usahawan tempatan, meneroka tawaran unik, di samping mengalami suasana yang mesra pada bulan yang penuh istimewa ini,” kata Cik Deanna.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya pada 23 Februari, Persatuan Rakyat (PA) berkata BRU 2025 merupakan acara pertama daripada beberapa kegiatan dan program yang dirancang sepanjang Ramadan untuk menghimpunkan penduduk di seluruh GRC.

Ini termasuk Majlis Berbuka Puasa GRC Sembawang @ North West pada 16 Mac di Masjid Yusof Ishak, yang memberi peluang kepada penduduk untuk berbuka puasa bersama dan meneroka masjid itu menerusi lawatan berpandu yang dikendalikan oleh pegawai masjid.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg