Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Lebih 100 kumpulan sertai peraduan TikTok, video anjuran Gen G

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peraduan anjuran akhbar pelajar BH, Gen G berasaskan filem-filem P. Ramlee

Lebih 100 kumpulan sertai peraduan TikTok, video anjuran Gen G

Feb 15, 2024 | 04:29 PM



Lebih 100 kumpulan dari sekolah menengah dan rendah akan bertanding dalam Peraduan TikTok dan Video berdasarkan filem-filem seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Anjuran akhbar pelajar Berita Harian (BH), Gen G, peraduan itu telah menarik 34 kumpulan dari sekolah rendah dan 69 dari sekolah menengah setelah pendaftaran ditutup pada 9 Februari lalu.


Peraduan itu mempunyai dua kategori iaitu bagi sekolah rendah dan sekolah menengah dan setiap sekolah boleh menghantar maksimum dua kumpulan.

Bilangan penyertaan itu melebihi 50 penyertaan yang dijangkakan sebelum ini.

Salah satu sekolah yang menyertai peraduan itu ialah Sekolah St Patrick yang menghantar dua kumpulan.

Guru Bahasa Melayu sekolah itu, Cikgu Hazlian Karim, berkata:

“Sebagai Guru Bahasa Melayu dan juga penggemar filem-filem yang dibintangi seniman agung kita, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, saya begitu teruja mendapat tahu tentang peraduan ini. Ia merupakan satu peluang emas kepada pelajar generasi Z untuk mengenali seniman ini dengan menggunakan wadah yang dekat dengan diri mereka, iaitu TikTok dan video.

“Harapan untuk para pelajar saya yang mengambil bahagian dalam peraduan ini ialah mengenali sumbangan besar Allahyarham P. Ramlee pada zaman 1950-an dan 1960-an dalam bidang perfileman, seni suara atau hasil muzik khususnya di Asia Tenggara. Beliau merupakan ikon dunia hiburan Melayu,” kata Cikgu Hazlian.

Para pelajar boleh melakonkan semula babak-babak filem seniman itu, menari dan/atau menyanyi dengan cara yang kreatif dan menghantar TikTok atau video dengan tempoh kurang daripada 1 minit.

TikTok atau video akan diadili berdasarkan kreativiti dan penggunaan bahasa Melayu. Ia juga perlu menerapkan nilai-nilai baik yang boleh dipelajari para pelajar.

Ia akan diadili oleh tiga pengadil iaitu Pengarah Urusan Inkhouse Media Pte Ltd (Singapura), Datuk Khairul Anwar Salleh; Pakar Kanan Rekaan Media Untuk Pembelajaran Kementerian Pendidikan (MOE), Cikgu Asnida Daud; dan Ketua Gaya Hidup BH, Cik Haryani Ismail.

Mengulas mengenai sambutan menggalakkan itu, Cik Haryani berkata: “Ia petanda kesediaan dan rasa teruja pelajar dan guru menyahut cabaran menjana kandungan TikTok menghiburkan tanpa mengabai nilai pendidikan yang boleh diterapkan daripada kerja seni ikon filem Melayu klasik ini.’‘

“Harapan kami sambutan menggalakkan ini akan membuka ruang kepada (akhbar pelajar) Gen G menganjurkan lebih banyak kegiatan yang dekat di hati pelajar dan menekankan semangat kerjasama serta memberi pengiktirafan pada sumbangan ikon dunia Melayu.”


Sekolah perlu menghantar TikTok atau video selewat-lewatnya 13 Mac. Maklumat penghantaran video akan diberikan selepas pendaftaran dibuat.

Pihak sekolah boleh menghantar video tidak melebihi 1 minit, dengan resolusi 1080 x 1920 ke https://gengsub.sph.com.sg/videocomp_sub sebelum 13 Mac 2024.

Pemenang pertama bagi kategori sekolah menengah dan rendah masing-masing akan menerima baucar tunai $1,000, trofi dan sijil.

Tempat kedua akan memenangi baucar tunai $800 berserta trofi dan sijil. Hadiah sagu hati akan diberikan bagi setiap kategori iaitu baucar tunai $500 dan sijil.

Para pemenang akan diumumkan di media sosial dan laman BH, serta Telegram Gen G pada 18 Mac.


Satu acara penyampaian hadiah akan diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 27 Mac dari 2.30 hingga 5 petang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >