Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja migran di S’pura perlu ilmu mengenai salah guna dadah

Semua harus main peranan dalam usaha wujudkan negara bebas dadah 
Apr 18, 2025 | 9:35 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), berkata ia memerlukan usaha dari seluruh masyarakat di Singapura untuk mewujudkan negara yang bebas dadah.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), berkata ia memerlukan usaha dari seluruh masyarakat di Singapura untuk mewujudkan negara yang bebas dadah. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Perkembangan global yang semakin terbuka terhadap dadah memberi kesan terhadap masyarakat global juga, termasuk pekerja migran di Singapura, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Lantas, pekerja migran juga perlu diberi kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah dan dilengkapi dengan pengetahuan mengenainya agar dapat segera melaporkan kepada pihak berkuasa apabila mereka mengesan tanda-tanda seseorang terlibat dengan dadah, ujarnya.

Dr Faishal menambah ia juga memerlukan usaha dari seluruh masyarakat di sini untuk mewujudkan Singapura yang bebas dadah.

Mengulas dengan lebih lanjut kepada Berita Harian (BH), Dr Faishal berkata:

“Walaupun kita berusaha keras meningkatkan kesedaran dan ketahanan terhadap penyalahgunaan dadah, kita tidak boleh melupakan mereka yang lain, yang turut berada di Singapura iaitu pekerja migran.

“Mereka juga boleh menjadi sasaran sindiket atau pengedar dadah yang mungkin mencari peluang untuk menjadikan pekerja migran ketagih dengan dadah.”

Beliau berkata demikian di forum Dadah itu Haram untuk pekerja Bangladesh di Masjid Angullia pada 18 April, yang bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada pekerja migran dari Bangladesh.

Forum yang buat julung-julung kalinya diadakan untuk pekerja migran itu dikendalikan Perunding Kanan, Alpha Joints & Orthopaedics, Dr Muntasir Mannan Choudhury, dan Jurubahasa Bengali di Mahkamah Agung dan Mahkamah Negara Singapura, Encik Abdul Ahad, dengan Dr Faishal hadir sebagai tetamu terhormat.

Dr Muntasir berkongsi mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam badan seseorang manakala Encik Abdul Ahad berkongsi tentang undang-undang berkaitan kesalahan dadah.

Perunding Kanan, Alpha Joints & Orthopaedics, Dr Muntasir Mannan Choudhury, berkongsi mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam badan seseorang kepada hadirin di Forum Dadah Itu Haram untuk pekerja migran di Masjid Angullia pada 18 April.
Perunding Kanan, Alpha Joints & Orthopaedics, Dr Muntasir Mannan Choudhury, berkongsi mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam badan seseorang kepada hadirin di Forum Dadah Itu Haram untuk pekerja migran di Masjid Angullia pada 18 April. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Juru bahasa Bengali di Mahkamah Agung dan Mahkamah Negara Singapura, Encik Abdul Ahad,berkongsi tentang akibat undang-undang berkaitan kesalahan dadah di Forum Dadah Itu Haram untuk pekerja migran di Masjid Angullia pada 18 April. 
Juru bahasa Bengali di Mahkamah Agung dan Mahkamah Negara Singapura, Encik Abdul Ahad,berkongsi tentang akibat undang-undang berkaitan kesalahan dadah di Forum Dadah Itu Haram untuk pekerja migran di Masjid Angullia pada 18 April.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Di acara yang dihadiri sekitar 80 pekerja migran itu, Dr Faishal turut berkata penting untuk menerapkan kesedaran membanteras dadah kepada pekerja migran itu.

“Dengan semakin terbukanya sikap terhadap dadah, golongan ini menjadi lebih terdedah kerana mereka biasanya berada dalam kumpulan... wujud peluang untuk pengaruh itu merebak.

“Kita perlu melengkapkan mereka dengan pengetahuan agar sentiasa peka. Kita mahu memastikan isu seperti ini dapat dibanteras di mana sahaja ia wujud,” katanya.

Sesuai dengan itu, Dr Faishal juga berkata penting bagi rakyat Singapura untuk sama-sama melindungi penduduknya yang lain daripada kesan buruk dadah.

“Apabila mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau perkara berkaitan, ia akan membawa kemudaratan kepada kehidupan mereka, keluarga mereka dan mengganggu tujuan asal mereka untuk mencari nafkah di sini.

“Oleh itu, saya rasa penting bagi kita sebagai sebuah masyarakat untuk melihat bagaimana kita boleh melindungi seluruh Singapura daripada kesan buruk dadah dan pada masa yang sama, memperkukuh usaha kita ke arah mewujudkan Singapura yang bebas dadah,” katanya.

Ketika ditemui BH, salah seorang hadirin yang juga merupakan pengurus tapak di sebuah syarikat pembinaan, Encik Habibur Rahman, 46 tahun berkata melalui pemeriksaanya, pekerja migran biasanya terlibat dengan dadah akibat depresi serta isu majikan yang tidak membayar gaji tepat pada waktunya.

“Mengapa orang mencari perkara yang bukan-bukan seperti dadah, merokok, bergaduh, atau minum arak?

“Semua ini berlaku disebabkan tekanan hidup. Mereka tertekan kerana ketinggalan... tidak dapat menyara keluarga,” katanya yang sudah bekerja di Singapura sejak 1997.

Menurutnya, forum yang diadakan di Masjid Angullia itu mendapat sambutan yang baik daripada hadirin, yang kelihatan kerap bertanyakan soalan dan ingin tahu mengenai isu yang diutarakan.

Encik Habibur Rahman (kanan) berkata forum Dadah itu Haram yang diadakan di Masjid Angullia untuk pekerja migran amat bermanfaat untuknya dan pekerja migran yang lain. Bersama beliau ialah penduduk tetap Singapura dari Burma, Encik Mohamed Tayab Ali, 56 tahun.
Encik Habibur Rahman (kanan) berkata forum Dadah itu Haram yang diadakan di Masjid Angullia untuk pekerja migran amat bermanfaat untuknya dan pekerja migran yang lain. Bersama beliau ialah penduduk tetap Singapura dari Burma, Encik Mohamed Tayab Ali, 56 tahun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Encik Abdul Karim Sojib, 33 tahun, pula menyambut baik forum itu serta berkata penting untuk pekerja migran mengetahui mengenai isu yang sedang berlaku di Singapura.

Lantas, beliau yang telah bekerja di sini sejak 2014, telah menubuhkan sebuah Facebook pada 2019 yang bertujuan untuk hal itu.

Facebook-nya yang digelar ‘Migrant workers from Bangladesh’ mempunyai sekitar 146 ribu pengikut ditubuhkannya untuk mengongsikan mengenai hal yang terjadi di sini agar pekerja migran yang lain turut peka dengan isu yang berlaku.

Beliau juga telah berkongsi mengenai forum tersebut di sana.

Hadirin menyambut baik Forum Dadah Itu Haram di Masjid Angullia pada 18 April.
Hadirin menyambut baik Forum Dadah Itu Haram di Masjid Angullia pada 18 April. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg