Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 relawan bantu kutipan derma melalui tabung Masjid Ar-Raudhah

Sasaran kutip lebih $100,000 melalui tabung pada 20 Disember; $8.5j bagi tampung dana peningkatan
Dec 13, 2024 | 5:30 AM
Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan (dua dari kanan), ketika berbincang bersama pegawai masjid serta wakil dan sukarelawan daripada kumpulan Perpaduan Amal dan Ibadah (Padi).
Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan (dua dari kanan), ketika berbincang bersama pegawai masjid serta wakil dan sukarelawan daripada kumpulan Perpaduan Amal dan Ibadah (Padi). - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Buat julung kalinya, Masjid Ar-Raudhah bakal mengadakan acara kutipan derma melalui tabung masjid pada Disember.

Pihak masjid mengalu-alukan penyertaan sukarelawan untuk membantu memegang tabung pada 20 Disember 2024 di masjid-masjid seluruh Singapura.

Acara kutipan derma tabung itu adalah untuk membantu mengisi dana peningkatan Masjid Ar-Raudhah yang memerlukan $8.5 juta untuk menampung kos prasarana dan perbelanjaan lain.

Kerja peningkatan itu bakal bermula pada suku kedua 2025.

Masjid Ar-Raudhah menganggarkan 140 tabung akan disediakan dan seramai 100 sukarelawan berusia 15 tahun ke atas, dijangka turut serta menyingsing lengan dalam acara tersebut.

Selain itu, sukarelawan daripada Perpaduan Amal dan Ibadah (Padi), akan juga membantu dengan menyediakan kenderaan untuk membawa relawan ke masjid-masjid setempat.

Sukarelawan itu perlu hadir dan melaporkan diri di Masjid Ar-Raudhah pada 9.30 pagi bagi sesi taklimat ringkas dan pulang ke masjid yang sama pada 3 petang.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, pihaknya amat berterima kasih dengan sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak.

Beliau turut terharu dengan keikhlasan dan penglibatan sukarelawan dalam projek kutipan tabung derma yang bakal diadakan tidak lama lagi itu.

Ustaz Mohamed Ali berharap lebih $100,000 dapat dikumpulkan daripada projek kutipan melalui tabung derma tersebut.

Setelah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), buat kali pertama, Masjid Ar-Raudhah berpeluang mengadakan projek acara kutipan derma melalui tabung masjid, pada 20 Disember.

Di samping itu, Ustaz Mohamed Ali turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Muis dan semua masjid di Singapura yang akan sama-sama membantu dan menjayakan pungutan derma itu.

“Kutipan ini akan bermula dari 12 tengah hari hingga 2 petang. Tetapi sukarelawan perlu hadir di Masjid Ar-Raudhah bermula dari 9.30 pagi untuk sesi taklimat kecil.

“Setelah itu, sukarelawan perlu memegang tabung dan akan dihantar ke masjid yang telah kami tetapkan, dan dihantar pula dengan kenderaan oleh pihak Padi.

“Padi juga merupakan badan sukarela yang membantu dalam perihal pengangkutan untuk acara pungutan derma ini,” kata Ustaz Mohamed Ali.

Ustaz Mohamed Ali turut memberitahu Berita Harian (BH) berharap orang ramai terus menyokong usaha murni itu dan menderma dengan penuh keikhlasan.

“Kami merayu agar jemaah serta warga Muslimin sekalian dapat memberikan sumbangan seikhlasnya.

“Semoga amal bakti dan sumbangan anda sekalian dapat mencapai matlamat jumlah kutipan tabung pada hari tersebut, dan semoga sumbangan tulus anda semua diberkati Allah swt,” tambahnya.

Cara beri sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Hantarkan cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah, dan kirimkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

4. Imbas kod QR yang tertera.

Jika berminat menjadi relawan bagi acara kutipan derma melalui tabung ini, atau untuk pertanyaan lain, sila hubungi pihak masjid atau WhatsApp ke talian 9461-4306.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg