Satu acara penuh bermakna telah diadakan di Masjid Ar-Raudhah pada awal November lalu.
Raudhatul Quran di Masjid Ar-Raudhah mengadakan majlis penyampaian sijil kepada mereka yang tamat pengajian Al-Quran dan program pendidikan Tinggi Islam Ar-Raudhah.
Acara ini merupakan kali kedua diadakan secara fizikal, setelah pandemik Covid-19.
Menurut ketua unit bahagian Raudhatul Quran di Masjid Ar-Raudhah, Ustazah Zakiah Abdul Razak, majlis penyampaian sijil ini merupakan sambutan penuh bererti bagi lulusan yang telah mengikuti pelbagai program dan menerima sijil mereka.
Program ukhrawi komprehensif ini adalah anjuran Masjid Ar-Raudhah.
Antaranya, mereka ini merupakan lulusan daripada program;
1. Raudhatul Quran 5M (Membaca, Menulis, Memahami, Menghafal, Menghayati).
2. Bahasa Arab dalam Al-Quran.
3. Khatam Qiraati buku 1-6 (Anak-Anak Tadika).
4. Khatam Al-Quran Riwayat Hafs bin Sulaiman.
5. Khatam Bersanad dengan berbagai Qiraat.
6. Diploma Pengajian Islam Ar-Raudhah (DPIA).
7. Sijil Asas Pengajian Islam Ar-Raudhah (SAPIA).
“Majlis ini diadakan untuk menghargai serta meraikan lulusan kami yang telah bersungguh-sungguh menuntut ilmu tanpa mengenal erti penat, tanpa putus asa dan sabar dalam ujian yang ditempuhi mereka.
“Ada pelajar kami yang menuntut ilmu bertahun-tahun, hingga dalam jangka masa satu hingga tujuh tahun,” jelas Ustazah Zakiah.
Majlis penyampaian sijil ini telah diadakan pada Ahad, 10 November 2024 dari 10 pagi hingga 12 tengah hari. Seramai 110 pelajar menerima sijil mereka.
Acara ini dimeriahkan dengan bacaan Al-Quran oleh Ustaz Muhammad Mustaffa dengan berbagai-bagai Qiraat sebagai pembuka tirai.
Ini diikuti dengan persembahan nasyid oleh anak-anak tadika Ar-Raudhah.
Acara kuiz mengenai tajwid Al-Quran oleh yang berbahagia Ustaz Abdul Samad Majid turut disediakan untuk hadirin ke acara tersebut.
“Alhamdulillah, majlis berjalan dengan jayanya dan kami amat berbangga dan teruja meraikan pencapaian lulusan ini, dan dalam usaha mereka yang teguh menimba ilmu agama!
“Tahniah kami ucapkan kepada mereka. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi yang baik kepada pelajar dan generasi lain, dan mereka akan terus berjuang untuk menimba ilmu hingga ke akhir hayat,” kata Ustazah Zakiah dengan ramah.
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Hantarkan cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang tertera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg