Lebih 1,000 titik pengecasan awam kenderaan elektrik (EV) di Singapura akan dipindahkan kepada SP Mobility mulai 2 Julai, menyusuli pengambilalihan syarikat pengendali perkhidmatan pengecasan, ChargEco.

Sepanjang tempoh peralihan ini, pelanggan ChargEco masih boleh terus mengakses titik pengecasan berkenaan menerusi aplikasi sedia ada mereka.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, titik pengecasan berkenaan akan disepadukan ke dalam rangkaian SP Mobility secara berperingkat, umum SP Group pada 2 Julai.

SP Mobility merupakan sebahagian daripada SP Group, yang juga pembekal utiliti dan rangkaian grid nasional.

Jurucakap SP Group ketika menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) memaklumkan tiada sebarang perubahan akan dilakukan terhadap rupa fizikal titik pengecasan ChargEco berkenaan.

Namun, pengurusan sistem dalaman (backend management) telah berubah, dengan SP Mobility mengambil alih tanggungjawab perkhidmatan pelanggan sejak 30 Jun.

Pemilik akaun SP Mobility dan ChargEco akan dimaklumkan mengenai langkah penyepaduan itu melalui e-mel, dan kemas kini juga akan dihantar menerusi kedua-dua aplikasi mudah alih serta laman web para pengendali berkenaan, kata jurucakap tersebut.

Sebahagian besar titik pengecasan ChargEco terletak di tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di kawasan tengah dan timur Singapura, dengan sekitar empat peratus berada di kawasan hartanah komersial dan kediaman privet.

Ini termasuk 16 titik pengecasan di tujuh rumah Kelab Safra dan enam titik pengecasan di Tingkat 5 dan 6 Wisma Atria di Orchard Road.

Kos penggunaan pengecas EV di tempat letak kereta HDB di kawasan timur akan kekal tidak berubah sehingga Mei 2029, kecuali jika berlaku kenaikan kos disebabkan keperluan kawal selia atau faktor lain di luar kawalan SP Mobility.

Pembekuan harga selama tiga tahun ini merupakan komitmen yang diberikan SP Mobility kepada Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan semasa rundingan awam pada Januari lalu.

Ini kerana SP Mobility dan ChargEco merupakan dua pengendali tunggal yang diberikan hak memasang pengecas di tempat letak kereta HDB di kawasan timur, menyusuli tender pelancaran pengecas EV awam berskala besar oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada November 2022.

Harga penggunaan pengecas ChargEco 7.4kilowatt (kW) di kawasan seperti Bedok, Tampines dan Pasir Ris ditetapkan pada 67.8 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj).

Sementara itu, SP Mobility mengenakan caj 69.8 sen bagi setiap kWj untuk pengecas 7.4kW miliknya di kawasan yang sama.

Titik pengecasan di tempat letak kereta HDB di kawasan tengah pula dikendalikan oleh ChargEco dan Charge+.

Pengarah Urusan SP Mobility, Encik Dean Cher, menyifatkan pengambilalihan itu sebagai “langkah penting ke arah landskap pengecasan EV yang lebih bersepadu dan cekap di Singapura”.

Buat masa ini, EV-Electric Charging – anak syarikat LTA yang bertanggungjawab bagi pelancaran pengecas tersebut – menyenaraikan tujuh pengendali di laman webnya yang merangkumi keseluruhan 8,275 titik pengecasan di serata Singapura. 

Daripada jumlah itu, SP Mobility memiliki 1,596 titik pengecasan, manakala ChargEco mempunyai 1,098 titik pengecasan.