Mulai 15 Jun, pemegang lesen memandu Kelas 3 dan 3A di sini akan dibenarkan memandu semua kenderaan barangan ringan elektrik (eLGV) dan bas kecil elektrik dengan berat tanpa muatan (ULW) tidak melebihi 3,000 kilogram (kg), meningkat daripada had semasa 2,500 kg, kata Polis Trafik (TP).

Kumpulan pemegang lesen ini sudah dibenarkan mengendalikan model eLGV dan bas kecil elektrik terpilih dengan ULW antara 2,500kg dengan 3,000kg.

“Perubahan ini menyokong komitmen Singapura untuk beralih sepenuhnya kepada kenderaan tenaga bersih menjelang 2040,” kata TP dalam satu kenyataan pada 14 Jun.

Awal Disember 2025, TP berkata pemegang lesen Kelas 3 dan 3A boleh mengendalikan kenderaan sedemikian dengan ULW hingga 3,000kg dengan selamat, kerana “ciri pengendalian dan dimensinya serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan ULW tidak lebih 2,500kg”.

Kereta hibrid dan petrol standard dianggap sebagai kenderaan ICE.

LGV elektrik dan bas kecil biasanya antara 400kg dengan 500kg lebih berat daripada kenderaan ICE disebabkan oleh berat baterinya di bawah kenderaan, mewujudkan pusat graviti yang lebih rendah dan meningkatkan kestabilan kenderaan.

Ciri-ciri asas kenderaan elektrik (EV) sedemikian di jalan raya – seperti stereng dan radius pusingan – serta dimensinya – seperti jarak roda dan panjang – juga serupa dengan kenderaan ICE yang dibenarkan dipandu oleh pemegang lesen Kelas 3 dan 3A, menurut TP.

Pemegang lesen Kelas 3 atau 3A sedia ada akan layak secara automatik untuk memandu eLGV dan bas kecil elektrik dengan ULW hingga 3,000kg. Tiada pengesahan, kemas kini atau pengubahsuaian kepada lesen yang diperlukan.

Bagaimanapun, kenderaan elektrik yang melebihi ULW 3,000kg masih memerlukan lesen Kelas 4 atau 4P untuk dikendali, kerana TP mendapati kenderaan sedemikian yang lebih berat “mungkin mempunyai ciri pengendalian berbeza dan memerlukan kecekapan memandu tambahan.

Begitu juga, pemandu kenderaan ICE yang ULW melebihi 2,500kg mesti memegang lesen memandu Kelas 4 atau 4P.

Pemandu boleh memeriksa sama ada kenderaan elektrik mereka layak dengan semakan kepada had ULW ini dengan merujuk kepada kad pendaftaran kenderaan masing-masing atau butiran pendaftaran Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menerusi portal OneMotoring.

Sebagai alternatif, mereka boleh menghubungi pengeluar kenderaan atau pengedar sah untuk mendapatkan spesifikasi teknikal, atau memeriksa plat nombor pengenalan kenderaan daripada pihak pengeluar.