Acara kutipan dana amal tahunan anjuran bersama The Straits Times (ST) dan The Business Times (BT), bakal kembali dengan format baharu.

Setelah lebih dua dekad, edisi ke-21 acara amal tersebut, ChildAid, akan diubah menjadi satu festival terbuka percuma yang berlangsung selama dua hari berbanding konsert tradisional yang memerlukan tiket sebelum ini.

Dinamakan, Pesta ChildAid 2026: Pentas Terbuka, pesta tersebut akan berlangsung pada 13 dan 14 November dari 11 pagi hingga 8 malam di Atrium UOB Plaza di 80 Raffles Place.

Lebih 133 penghibur merentasi 44 persembahan muzik, tarian dan teater dijangka menyemarakkan suasana di pesta tersebut.

Ini di samping pelbagai kegiatan interaktif dan reruai makanan dengan pengunjung berpeluang menyumbang kepada kutipan dana.

Semua dana yang dikumpul melalui ChildAid 2026 akan menyokong pelajar bagi daripada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF), yang menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bagi menampung perbelanjaan persekolahan.

Disalurkan kepada Dana Seniman Muda BT (BTBAF), ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak dan belia berlatar belakang kurang bernasib baik untuk mengasah bakat seni masing-masing.

Sejak dilancarkan pada 2005, ChildAid telah mengumpulkan lebih $32 juta bagi kededua badan amal tersebut.

Pesta tersebut akan dihadiri Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, selaku tetamu terhormat pada 13 November.

Dalam satu kenyataan bersama oleh SPH Media, peralihan kepada pesta percuma bertujuan memudahkan akses buat orang ramai serta menyediakan pengalaman lebih santai.

Antara acara tarikan pada hari pertama termasuk persembahan teater muzikal bertenaga dan aksi teater di tangga UOB Plaza.

Peserta juga boleh menikmati keindahan matahari terbenam di tepi Sungai Singapura di samping persembahan gitar akustik, selain rangkaian lagu Michael Jackson yang digubah khas.

Acara pada hari kedua pula merangkumi gabungan pelbagai genre persembahan balet, hip-hop, muzik klasik, pop, R&B dan rok.

Pengunjung boleh menyaksikan persembahan daripada kumpulan penyanyi, penari dan pemain alat muzik, termasuk kumpulan muzik rentas generasi yang diterajui seorang pemuzik remaja.

Selain deretan persembahan tersebut, pengunjung boleh meneroka pelbagai kegiatan interaktif dan kreatif, serta pelbagai reruai makanan.

Sambil itu, mereka boleh menyumbang kepada usaha kutipan dana menerusi stesen derma yang unik.

Antaranya ialah dinding interaktif sepanjang 4.8 meter bagi pengunjung menunjuk sokongan mereka.

Pengunjung juga boleh mendapatkan lukisan karikatur, menyertai kegiatan lukisan muka dan mencipta ‘clicker’, selain menikmati pelbagai jenis snek di pesta tersebut.

Hasil jualan akan disalurkan kepada penerima bantuan badan amal STSPMF dan BTBAF.

Stesen radio Kiss92, ONE FM 91.3 dan Money FM89.3 juga akan memberikan aiskrim dan cenderahati secara percuma.

Anjuran ChildAid 2026 disokong oleh penderma seperti UOB, Yayasan Musim Mas dan estet Lim Chin Hua. Ia juga disokong oleh keluarga Choo sebagai tanda peringatan kepada pemergian Choo Lye Heng dan Lim Swee Hiang.

UOB turut menyediakan lokasi pesta tersebut.

Selain menderma di pesta tersebut, orang awam juga boleh membuat sumbangan dalam talian.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan