Topik diikuti
Pergi ke BHkuMHA pertingkat operasi banteras judi haram semasa Piala Dunia 2026
MHA pertingkat operasi banteras judi haram semasa Piala Dunia 2026
Kempen kesedaran tentang kesan buruk ketagihan judi terhadap individu, keluarga turut dilancar
MHA pertingkat operasi banteras judi haram semasa Piala Dunia 2026
Menjelang kemeriahan Piala Dunia 2026, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) melipatgandakan operasi membanteras perjudian haram sepanjang kejohanan berlangsung.
Serentak itu, Majlis Kebangsaan Terhadap Masalah Perjudian (NCPG) melancarkan kempen kesedaran.
Video kempen tersebut merakamkan kisah tragis seorang bapa muda yang kehilangan segala-galanya – harta dan keluarga – akibat ketagihan pertaruhan.
Usaha tersebut diumumkan MHA dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 9 Jun, menjelang kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai.
Acara sukan antarabangsa besar seperti Piala Dunia sering kali mencetuskan minat lebih tinggi terhadap kegiatan perjudian, kata kementerian berkenaan.
Singapore Pools merupakan satu-satunya pengendali berlesen di Singapura bagi perkhidmatan loteri, pertaruhan sukan dan perjudian dalam talian, manakala pengendali lain – sama ada secara dalam talian mahupun fizikal – adalah haram.
“Berbeza dengan pengendali berlesen, pengendali haram tidak menyediakan langkah perlindungan perjudian bertanggungjawab dan boleh mendedahkan individu serta keluarga mereka kepada kemudaratan besar dari segi kewangan dan sosial,” menurut kenyataan itu.
Pihak polis sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan secara kerap bagi membanteras pengendali perjudian haram.
Di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha), pihak berkuasa mengarahkan penyedia perkhidmatan dalam talian untuk menyekat akses kepada platform dan iklan perjudian haram.
Tindakan tegas turut diambil antaranya nombor telefon tempatan yang mempromosikan perjudian haram akan ditamatkan, manakala akaun bank dan pembayaran kad kredit yang dikaitkan dengan kegiatan haram akan disekat.
Individu yang mengendalikan kegiatan perjudian haram berdepan denda sehingga $500,000 dan penjara sehingga tujuh tahun.
Bagi kaki judi yang menggunakan perkhidmatan haram pula, mereka boleh dikenakan denda sehingga $10,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Menjelang bahang Piala Dunia, NCPG menggerakkan kempen ‘Every bet costs something’ menerusi siaran televisyen, platform digital, media sosial, serta papan iklan di sekitar premis pertaruhan.
Inisiatif yang lazimnya dijalankan empat tahun sekali ini bertujuan membendung tabiat pertaruhan bola sepak yang melampau.
Selari dengan itu, Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) giat menyebarkan mesej tentang risiko dan hukuman jenayah perjudian haram merentas pelbagai saluran publisiti.
Pengerusi NCPG, Encik Sim Gim Guan, berharap peminat sukan dapat menikmati perlawanan tanpa terjerumus dalam masalah perjudian.
“Apabila anda hilang kawalan, anda mungkin kehilangan segala-galanya yang benar-benar bermakna – rumah, hubungan dan kepercayaan orang tersayang,” tegas beliau.
Beliau turut menggesa orang ramai agar peka terhadap tanda-tanda awal ketagihan dan segera mendapatkan bantuan profesional jika memerlukan sokongan.
Keluarga dan rakan yang mengesan tanda-tanda ketagihan judi, atau individu yang terjejas dengan masalah tersebut, boleh menghubungi talian bantuan NCPG di 1800-6-668-668 atau menggunakan fungsi sembang web (webchat) di www.ncpg.org.sg
Orang ramai yang terjumpa laman web atau iklan perjudian haram pula dinasihatkan supaya menghubungi talian polis di 1800-255-0000 atau menyerahkan maklumat secara dalam talian di www.police.gov.sg/i-witness
