Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid pupuk semangat berjiran sempena Tahun Baru Cina

Feb 1, 2025 | 8:58 PM
Pegawai agama masjid (MRO) Masjid Al-Islah, Ustaz Uwais Al-Qarni Mohamed Fawzi (kiri), memberi hamper kepada kakitangan kuil Sheng Jia sempena Tahun Baru Cina.
Pegawai agama masjid (MRO) Masjid Al-Islah, Ustaz Uwais Al-Qarni Mohamed Fawzi (kiri), memberi hamper kepada kakitangan kuil Sheng Jia sempena Tahun Baru Cina. - Foto FACEBOOK MASJID AL-ISLAH PUNGGOL

Di dalam kesibukan bersiap sedia untuk kedatangan Ramadan penuh berkat yang bakal tiba dalam masa sebulan, masjid-masjid di Singapura tidak melupakan kepentingan menyebarkan keharmonian, budi baik, kemesraan dan muhibah semasa musim perayaan Tahun Baru Cina (CNY).

Beberapa masjid yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkongsi pengalaman bertemu jiran tetangga untuk mengedarkan limau, manisan serta minuman.

Antaranya ialah Masjid Khalid yang telah memulakan tradisi CNY selama lebih dua dekad sejak di bawah pimpinan mantan pengerusinya, Allahyarham Alla’udin Mohamed, yang meninggal dunia pada 14 November 2024.

“Allahyarham Alla’udin telah memberi limau dan minuman beberapa hari sebelum CNY kepada semua jiran kami termasuk kedai-kedai sekitar Masjid Khalid selama lebih 20 tahun.

“Kami meneruskan sahaja tradisi beliau,” kongsi Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin, yang telah mengambil alih jawatan tersebut pada Disember 2024.

Masjid Al-Falah, yang terletak di Bideford Road, telah mengedarkan hamper kepada jiran terdekat mereka termasuk Hotel Holiday Inn Express Orchard, Ascott Orchard, Hotel Pullman dan COMO Orchard pada 27 Januari.

“Dahulu, kami telah menyampaikan ucapan perayaan kepada jiran kami melalui kad, tetapi pada tahun ini (2025), kami memutuskan untuk mengambil pendekatan lebih peribadi dengan menyampaikan hamper.

“Ini membolehkan kami bertemu dengan jiran secara bersemuka, mengikuti perkembangan mereka, dan mengeratkan lagi hubungan antara kami,” kongsi Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Ustaz Khairul Anwar Mohamed Aznan.

Selain memupuk sifat muhibah, Ustaz Khairul Anwar berkata ia dapat memupuk rasa hormat antara satu sama lain, menggalakkan semangat keterangkuman dan mewujudkan persekitaran yang menyokong, yang mana jiran saling menjaga sesama sendiri.

“Ia juga memaklumkan kami tentang perkembangan dalam persekitaran kami, membolehkan kami melayani keperluan masyarakat dengan lebih baik.

“Selain itu, penglibatan ini membantu memecahkan halangan dan salah tanggapan, menggalakkan persefahaman antara agama dan perpaduan sosial,” tambahnya.

Masjid An-Nahdhah pula memilih untuk mendekati pekerja migran yang berjauhan daripada keluarga sempena musim perayaan tersebut.

Terletak di Bishan, ia merupakan satu tradisi bagi mereka mengagihkan limau kepada Pandu Puteri Singapura, Pusat Bahasa MOE serta pekerja asing yang menetap berdekatan sejak Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) dimulakan.

Namun, Pegawai Pembangunan Belia (YDO) Masjid An-Nahdhah, Ustaz Luqman Hakim Roslan, berkongsi bahawa kerjasama mereka dengan Kumpulan Keyakinan, Penjagaan dan Penglibatan (Ace) Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah bermula pada 2023.

“Sempena Tahun Baru Cina, pekerja yang berbangsa cina dan yang dari China diutamakan dan pekerja yang lain juga diraikan.

“Dalam negara berbilang bangsa dan agama, hubungan sebegini amat penting sekali.

“Memberi limau kepada pekerja asing adalah satu penghargaan dan tanda penghormatan bagi kerja keras mereka.

“Bagi jiran kami yang lain, ia menunjukkan yang masjid akan ada bersama mereka dalam waktu senang mahupun susah,” ujar Ustaz Luqman Hakim.

Semangat ingin membantu dan menjaga tali persaudaraan juga ditunjukkan Masjid Hussain Sulaiman di Pasir Panjang Road.

Pada 27 Januari, Masjid Hussain Sulaiman telah mengadakan lawatan sambil mengedarkan limau kepada jiran mereka di pejabat pos Pasir Panjang, House on the Hill Montessori School, serta keluarga di kawasan rumah privet berhampiran.

“Yang menarik pada tahun ini, ada satu keluarga yang datang ke masjid untuk memberi kami sekotak oren dahulu, sebelum kami memulakan lawatan.

“Setiap musim perayaan, tidak kira Tahun Baru Cina atau Deepavali, kami akan menziarahi jiran-jiran kami untuk memberi mereka sedikit habuan.

“Sebelum tibanya Ramadan kami juga akan ke rumah-rumah privet bersebelahan masjid untuk memberitahu mereka bahawa Ramadan akan tiba dan mungkin jumlah kereta yang diletakkan akan meningkat dan jika mereka perlukan bantuan, mereka boleh hubungi saya atau pihak masjid,” kata Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Hussain Sulaiman, Ustaz Mohamed Ali Atan.

Masjid Al-Islah di Punggol turut mengedarkan oren kepada kuil Fo Guang Shan (Singapura), kuil Sheng Jia, Pusat Dhammakaya Singapura, serta kelab masyarakat Punggol West dan Punggol 21.

“Bermula dari 2017, kami dari pertubuhan-pertubuhan agama yang pelbagai telah menganjurkan satu acara Blessings in Harmony.

“Oleh sebab acara itu berlangsung setiap tahun, kami menjalinkan hubungan persahabatan yang baik dan apabila tiba musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya, kami akan bertukar-tukar cenderamata,” kongsi pegawai agama masjid (MRO) Masjid Al-Islah, Ustaz Uwais Al-Qarni Mohamed Fawzi.

Bagi Ramadan yang akan tiba, persiapan telah pun bermula untuk berapa masjid.

Sejak Disember 2024, Masjid Al-Islah telah giat mencari sukarelawan untuk membantu dan berkongsi akan menyokong usaha kemampanan seperti makan dulang ketika berbuka dan bersahur, bukan sahaja agar jemaah dapat mengeratkan silaturrahim sesama mereka tetapi juga mengurangkan oenggunaan bungkusan plastik.

Dalam pada itu, kutipan derma buat bulan Ramadan, Infaq Ramadan, sudah pun bermula di Masjid An-Nahdhah.

Sumbangan tersebut akan membantu dalam acara seperti program pra-iftar yang mana masjid menjemput qari-qari untuk membaca Al-Quran sebelum acara berbuka di masjid.

Masjid An-Nahdhah juga akan memberikan makan kepada mereka yang memerlukan (penerima zakat) setiap Jumaat, selain daripada mengadakan acara iftar bersama pekerja asing di asrama mereka bersama Masjid An-Nur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg