Lebih 2.4 juta warga Singapura yang layak akan menerima bayaran tunai khas antara $400 dengan $600 bermula 9 September ini, bagi menangani kenaikan kos sara hidup, umum Kementerian Kewangan (MOF) pada 13 Ogos.

Bayaran Khas Kos Sara Hidup ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2026 pada Februari.

Pada 7 April, pemerintah mengumumkan bahawa bayaran itu akan dipertingkatkan.

Ia merupakan sebahagian daripada peruntukan hampir $1 bilion bagi membantu individu paling terjejas dengan kenaikan harga, di samping memberi sokongan lebih luas kepada isi rumah serta perniagaan.

Antara syarat untuk menerima bayaran tersebut ialah penerima mestilah warga Singapura yang menetap di negara ini dan berusia sekurang-kurangnya 21 tahun pada 2026.

Selain itu, pendapatan mereka yang boleh ditaksir bagi tahun pentaksiran 2025 tidak boleh melebihi $100,000 dan mereka juga tidak boleh memiliki lebih daripada satu hartanah.

Tiada permohonan diperlukan untuk mendapatkan bayaran khas ini.

Jumlah bayaran tersebut diberikan mengikut kadar nilai tahunan kediaman seseorang seperti yang tercatat pada kad pengenalan (NRIC) mereka sehingga 31 Disember 2025.

Langkah ini ditetapkan bagi memberi sokongan lebih baik kepada golongan kurang berkemampuan, kata MOF.

Sebagai contoh, warga Singapura dewasa yang kediamannya mempunyai nilai tahunan melebihi $31,000 akan menerima $400, dengan pendapatan boleh ditaksir sehingga $100,000.

Warga Singapura dewasa yang kediamannya mempunyai nilai tahunan sehingga $15,000 serta mempunyai pendapatan boleh ditaksir sehingga $22,000 pula akan menerima $600.

Orang ramai boleh menyemak kelayakan masing-masing di laman web govbenefits dengan log masuk menggunakan Singpass mereka.

Mereka juga digalakkan untuk menghubungkan nombor NRIC mereka dengan PayNow sebelum 30 Ogos bagi menerima bayaran lebih awal iaitu menjelang 9 September.

Penerima lain akan mendapat bayaran melalui Giro menjelang 17 September dan menerusi GovCash menjelang 24 September.

Penerima yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum dan selepas bayaran dimasukkan.

Mereka yang tidak mempunyai nombor telefon bimbit berdaftar Singpass akan dimaklumkan menerusi surat yang dihantar ke alamat yang tertera pada NRIC mereka.

MOF berkata pemberitahuan menerusi SMS daripada ‘gov.sg’ hanya akan memberitahu orang ramai mengenai faedah yang diterima mereka.

Mereka tidak akan diminta untuk membalas SMS, menekan sebarang pautan, atau memberi sebarang maklumat kepada penghantar.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa pegawai pemerintah tidak akan meminta orang ramai memindahkan wang atau mendedahkan maklumat log masuk bank menerusi telefon.

Pakej sokongan $1 bilion ini adalah tambahan kepada $155 bilion yang diperuntukkan sebelum ini dalam Belanjawan 2026, yang merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah Singapura.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada langkah sokongan yang diumumkan pada April, pekerja platform aktif, pemandu kereta sewa privet serta pemandu teksi telah mula menerima sokongan sebanyak $200 dalam bentuk tunai sejak akhir April.

Langkah ini bertujuan mengurangkan kesan terhadap pendapatan mereka, yang terjejas akibat kenaikan mendadak harga bahan api, berikutan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Sementara itu, pemerintah pada Jun telah mengagihkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $500, enam bulan lebih awal kepada sekitar 1.38 juta isi rumah untuk membantu dalam mengurangkan perbelanjaan harian mereka.

Baucar tersebut sah digunakan sehingga 31 Disember 2027.