SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kesan konflik TT: Pekerja platform terima bantuan $200 mulai hujung Apr

Kesan konflik TT: Pekerja platform terima bantuan $200 mulai hujung Apr

Jeffrey Siow: Langkah dapat kurang kesan kenaikan mendadak harga bahan api terhadap pendapatan pekerja platform
Apr 7, 2026 | 8:46 PM

Kesan konflik TT: Pekerja platform terima bantuan $200 mulai hujung Apr

pekerja platform, bantuan tunai, kenderaan sewa privet, pekerja platform
Mereka yang layak menerima bayaran termasuk pekerja platform yang memperoleh pendapatan bersih melebihi $500 setiap bulan daripada kerja penghantaran atau tempahan kereta sewa (e-panggilan) antara Disember 2025 dengan Februari 2026. - Foto ST

Pekerja platform aktif termasuk penunggang penghantaran serta pemandu kenderaan sewa privet (PHV) dan teksi akan menerima bantuan tunai $200 daripada pemerintah mulai penghujung April.

Langkah itu bertujuan mengurangkan kesan kenaikan mendadak harga bahan api terhadap pendapatan mereka, kata Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, pada 7 April.

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) mengenai bantuan tertumpu susulan harga tenaga tinggi akibat konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.

Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) bertanya tentang kesan kenaikan petrol terhadap kos operasi bulanan pekerja platform serta jika terdapat langkah sokongan tambahan untuk membantu mereka.

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), turut bertanya sama ada pemerintah memberi rebat cukai jalan kepada penunggang motosikal serta pemandu PHV dan teksi, serta rebat duti petrol bagi pemandu tersebut.

Encik Siow berkata pengurangan duti bahan api dan diesel secara menyeluruh merupakan pendekatan kurang bersasar dan boleh membebankan golongan berpendapatan rendah.

Encik Pritam turut bertanya ambang yang digunakan pemerintah untuk menentukan sama ada rebat cukai jalan atau duti petrol perlu dilanjutkan kepada mereka yang bergantung pada kenderaan untuk mencari nafkah, seperti dalam Belanjawan 2021.

Beliau juga bertanya sama ada pemerintah bercadang menyalurkan sokongan tambahan kepada isi rumah dan perniagaan berikutan kenaikan harga elektrik, serta bila pemandu bas dan pengendali kecil pengangkutan boleh menjangkakan bantuan.

Encik Siow berkata pemerintah memahami kegusaran pemandu dan syarikat kecil dan sederhana (SME) yang bergantung kepada diesel dan tidak mempunyai pilihan lain dengan segera.

Mengenai rebat atau pengurangan cukai jalan, Encik Siow berkata langkah itu terlalu menyeluruh dan tidak tepat sasarannya.

Cukai jalan juga berkait rapat dengan dasar kenderaan lain serta mengambil kira faktor seperti pencemaran, dan matlamat ini masih kekal penting.

Beliau menambah pemerintah mahu lebih tertumpu dan bersasar dalam menyalurkan bantuan.

Beliau juga menegaskan sebagai ekonomi terbuka, Singapura perlu membenarkan harga bahan api mencerminkan pasaran.

Katanya lagi, baucar bahan api dan perubahan tambang telah diperkenalkan hasil perbincangan antara Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan pengendali platform serta teksi.

Bayaran tunai $200 ini memberi kelegaan tambahan, ujarnya.

Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast-Jurong West) bertanya sama ada bantuan lebih besar boleh diberikan kepada pemandu PHV dan teksi yang berada di jalan raya lebih lapan jam sehari.

Encik Siow menjelaskan jumlah $200 adalah purata kenaikan kos bahan api antara $150 dengan $250, yang dialami oleh pemandu sepenuh masa PHV dan teksi.

“Saya rasa itu munasabah buat masa ini. Kami akan terus memantau keadaan dan menilai sama ada bantuan tambahan diperlukan, khususnya bagi golongan terjejas,” kata Encik Siow.

Pekerja yang layak adalah mereka yang memperoleh lebih $500 sebulan daripada kerja penghantaran atau e-panggilan antara Disember 2025 dengan Februari 2026, merentasi semua pengendali platform.

Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan menyalurkan bantuan tunai kepada pekerja platform ini berdasarkan pendapatan bersih yang dilaporkan oleh pengendali platform mereka ketika membuat caruman CPF.

Bantuan akan disalurkan melalui PayNow kepada mereka yang telah mengaitkan nombor kad pengenalan (NRIC) kepada kaedah pembayaran tersebut selewat-lewatnya 30 April.

Bagi mereka yang belum mengaitkan NRIC kepada PayNow tetapi mempunyai akaun bank DBS, POSB, OCBC atau UOB yang didaftarkan di laman govbenefits, bayaran akan diterima melalui Giro menjelang 11 Mei.

Kumpulan ketiga, iaitu mereka yang tidak mengaitkan NRIC kepada PayNow atau tidak mempunyai akaun bank yang sah, akan menerima bantuan melalui GovCash menjelang 18 Mei.

Semua pemandu teksi yang menyewa teksi daripada pengendali dalam tempoh tiga bulan yang sama turut layak menerima bantuan itu.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menyalurkan bantuan tunai secara automatik melalui pengendali teksi menjelang pertengahan Mei kepada pemandu teksi yang layak dan tidak menerimanya daripada Lembaga CPF.

Pekerja platform memuji langkah ini, tetapi mengharapkan sokongan jangka panjang.

Encik Quek Keng Huat, seorang pemandu teksi selama 11 tahun, berkata bayaran itu membantu menampung penurunan $25 dalam pendapatan hariannya ekoran permintaan yang merosot.

Lelaki berusia 49 tahun itu kini melakukan sekitar 16 hingga 17 perjalanan sehari, berbanding sekurang-kurangnya 18 perjalanan sebelum tempoh konflik.

Beliau bimbang jika perang berlarutan, permintaan pelanggan akan terus merosot. Ini boleh menjadi “punca kebimbangan sebenar”, katanya, sambil berharap pemerintah menyediakan lebih banyak sokongan.

Bagi penunggang penghantaran selama lapan tahun, Encik Leck Jun You, 41 tahun, bantuan itu “sememangnya membantu” menampung kos membaiki dan menyenggara motosikalnya.

Beliau lazimnya membelanjakan sekurang-kurangnya $96 sebulan untuk kerja pembaikian.

Baki wang pula boleh digunakan untuk mengisi minyak motosikalnya sekurang-kurangnya empat kali, sekitar $22 setiap kali.

Namun, Encik Leck berkata bantuan secara berterusan setiap beberapa bulan akan lebih membantu jika perang berlarutan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg