Sebanyak 12 kapal dan lebih 200 anggota daripada lapan agensi pemerintah dan rakan industri telah mengambil bahagian dalam Latihan Menyelamat Feri (Ferex) tahunan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada 22 Ogos.
Sebagai sebahagian daripada minggu Singapore Safety@Sea 2024, latihan tersebut mensimulasikan perlanggaran antara feri elektrik dengan diesel di perairan antara Marina South Pier dengan Kepulauan Selatan.
Menurut hantaran Facebook MPA pada 22 Ogos, feri berkuasa diesel itu mengalami kerosakan yang teruk dan memerlukan penumpang dipindahkan dengan segera, manakala feri elektrik tersebut terbakar akibat haba yang terlalu panas.
MPA mengaktifkan pelan kecemasan kemalangan ferinya untuk menguji kesediaan operasi pelbagai agensi untuk menangani kebakaran bateri, pemindahan penumpang, latihan menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke dalam laut serta prosedur perubatan.
Ia turut menampilkan penggunaan dron untuk pengawasan dan penghantaran pelampung penyelamat, kenderaan tanpa pemandu autonomi untuk pemeriksaan kapal dengan sukarelawan daripada Program Sukarelawan Laut Selamat (SSVP) turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.
Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, turut hadir bagi menyaksikan latihan itu, tambah MPA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg