Lebih 2,000 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menyertai perbarisan Hari SAF yang diadakan di Institut Ketenteraan Safti pada 1 Julai.
Anggota tersebut merangkumi Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSman) dan anggota tetap tentera yang mengambil bahagian dalam acara yang dirasmikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Turut hadir selaku tetamu terhormat ialah Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Pada acara perbarisan itu, Tuan Presiden menyampaikan Panji-Panji Negara kepada Batalion Komando Pertama (1CDO) yang dinobatkan sebagai Unit Tempur Terbaik, manakala Encik Chan menyampaikan anugerah kepada para pemenang Pertandingan Unit Terbaik SAF bagi 2025.
Dalam satu hantaran di Facebook sempena Hari SAF, Encik Chan berkata:
“Sepanjang enam dekad lalu, keamanan dan kedaulatan Singapura tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil kerja keras, komitmen dan tahap profesionalisme beberapa generasi kakitangan SAF.”
Beliau turut menggesa anggota SAF agar terus mempertahankan Singapura di ruang udara, darat, laut dan digital kerana keamanan dan kestabilan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin.
Dalam hantaran berasingan, Encik Zaqy pula menegaskan kepentingan SAF untuk sentiasa berwibawa, terkait dan kekal bersiap sedia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg