Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 950,000 isi rumah HDB terima rebat U-Save, S&CC pada Okt

Penghuni flat satu dan dua bilik terima rebat $190
Sep 30, 2024 | 6:05 PM
Sebahagian daripada rebat bagi penghuni flat HDB adalah untuk “mengimbangi kesan bil utiliti yang lebih tinggi ekoran kenaikan cukai karbon dan harga air”, menurut Kementerian Kewangan.
Sebahagian daripada rebat bagi penghuni flat HDB adalah untuk “mengimbangi kesan bil utiliti yang lebih tinggi ekoran kenaikan cukai karbon dan harga air”, menurut Kementerian Kewangan. - Foto BT

Lebih 950,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat U-Save dan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Oktober.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada 30 September berkata rebat itu, yang merupakan sebahagian daripada skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) kekal dan Pakej Jaminan, adalah pembayaran suku tahunan ketiga bagi tahun kewangan 2024.

Rebat itu akan membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menangani GST dan perbelanjaan kos sara hidup, menurut MOF.

“Secara purata, ini akan meliputi kira-kira lapan bulan bil utiliti bagi mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik, dan kira-kira empat bulan bil utiliti bagi mereka yang tinggal di flat tiga dan empat bilik,” tambah kementerian itu.

Dalam pusingan ini, mereka yang tinggal di flat HDB satu bilik dan dua bilik akan menerima sejumlah $190 dalam rebat U-save, lapor The Straits Times.

Mereka yang tinggal di flat tiga bilik akan mendapat $170 secara keseluruhan, manakala penghuni flat empat bilik akan mendapat $150.

Isi rumah HDB lima bilik akan mendapat $130.

Mereka yang tinggal di flat eksekutif atau berbilang generasi akan menerima paling sedikit – $110.

Tiada tindakan diperlukan untuk menuntut rebat itu, kata MOF, dengan rebat U-Save dikreditkan terus ke dalam akaun utiliti SP Services bagi isi rumah.

Sementara itu, rebat S&CC akan dikreditkan secara langsung oleh majlis bandaran.

Sebahagian daripada rebat itu adalah untuk “mengimbangi kesan bil utiliti yang lebih tinggi ekoran kenaikan cukai karbon dan harga air”, tambah MOF.

Pada 30 September, pengendali grid SP Group berkata tarif elektrik akan turun untuk tiga bulan akan datang disebabkan kos tenaga yang lebih rendah, dengan penurunan 2.6 peratus dalam tarif elektrik berbanding suku sebelumnya.

City Energy, pengeluar dan peruncit gas berpaip, berkata dalam satu kenyataan berasingan pada 30 September bahawa tarif gas akan turun sebanyak 0.45 sen setiap kilowatt-jam (kWj) dalam tempoh yang sama, juga disebabkan kos yang lebih rendah.

“Secara purata, ini akan meliputi kira-kira lapan bulan bil utiliti bagi mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik, dan kira-kira empat bulan bil utiliti bagi mereka yang tinggal di flat tiga dan empat bilik.” 
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada 30 September.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg