Lebih 2,000 peluang di pameran kerjaya penerbangan masyarakat pertama S’pura
Lebih 2,000 peluang di pameran kerjaya penerbangan masyarakat pertama S’pura
Lebih 2,000 jawatan daripada 18 syarikat penerbangan akan ditawarkan di pameran kerjaya penerbangan masyarakat pertama Singapura, yang akan diadakan di Heartbeat@Bedok pada 28 Februari dan 1 Mac.
Kerja kosong itu merangkumi peranan pengurusan, eksekutif dan operasi.
Sebanyak 10 pertubuhan berkenaan akan mengadakan temu duga di lokasi untuk membolehkan mereka yang mencari kerja mendapatkan pekerjaan dengan lebih pantas.
Demikian menurut kenyataan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 27 Februari.
Antara syarikat tersebut termasuk syarikat perkhidmatan layanan tamu, Accor Lounges; firma perkhidmatan keselamatan Certis Group; pembekal enjin pesawat, GE Aerospace; pengendali kargo udara, Sats; penyedia penyelenggaraan pesawat, SIA Engineering Company; dan firma pembaikan enjin, Singapore Aero Engine Services.
Jawatan yang ditawarkan termasuk pegawai perhubungan penumpang, pegawai polis tambahan, teknisyen pembaikan komponen, pembantu logistik, pegawai katering, teknisyen pesawat pelatih, dan perancang penerbangan.
Antara syarikat lain yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut ialah Changi Airport Group (hanya pada 28 Februari); firma perkhidmatan pelancongan, Changi Travel Services; CAAS; syarikat penerbangan tambang rendah, Scoot; serta kumpulan teknologi, pertahanan dan kejuruteraan, ST Engineering.
Pameran kerjaya itu merupakan sebahagian inisiatif sepanjang tahun ‘East Side Best Careers’ (Kerjaya Terbaik Kawasan Timur) GRC East Coast.
Ia dianjurkan bersama oleh CAAS dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dengan kerjasama kelompok kesatuan sekerja aeroangkasa dan penerbangan NTUC.
Selain peluang pekerjaan, e2i akan menyediakan bimbingan dan khidmat nasihat kerjaya peribadi bagi membantu mereka yang mencari kerja memperkukuh strategi pencarian kerja mereka, kata CAAS.
Turut membuka reruai di pameran tersebut adalah akademi penerbangan Aeroviation, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, serta penyedia latihan sepanjang hayat, NTUC LearningHub (hanya pada 1 Mac).
Selain itu, pameran tersebut bakal menampilkan pelbagai kegiatan interaktif bertema penerbangan untuk seisi keluarga, termasuk kegiatan realiti maya (VR) dan simulator penerbangan.
Pencari kerja yang berminat boleh mendaftar secara langsung di lokasi berkenaan atau membuat permohonan dalam talian di https://go.gov.sg/eastsideoneaviationcareers

