Lebih 20,000 penganut Hindu berkumpul menyaksikan upacara keagamaan di Kuil Sri Sivan pada 8 Jun.
Kuil yang terletak di Geylang East itu merupakan antara kuil Hindu tertua di Singapura, dengan sejarah sejak 1800-an.
Acara tersebut turut dihadiri Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Bercakap kepada media di luar acara tersebut, Encik Shanmugam berkata: “Kuil ini sendiri mempunyai tempat istimewa dalam hati masyarakat Hindu di Singapura.”
Encik Shanmugam turut merasmikan plak peringatan di acara tersebut.
Seawal 7 pagi, para penganut sudah mula membanjiri khemah khas yang didirikan di luar kuil, bagi menantikan acara utama iaitu Maha Kumbhabishegam atau ‘pentahbisan agung’.
Ia merujuk kepada proses menuang ‘air suci’ dari bekas khas, atau kumbham di bumbung kuil.
Upacara itu bermula dari sekitar 7.30 pagi, dengan mantera dan muzik tradisional apabila sekumpulan sami berarak menuju ke bumbung kuil sambil membawa periuk berisi air suci.
Ribuan penganut mengikuti upacara itu menerusi skrin besar yang menayangkan siaran langsung dari pelbagai sudut, lapor The Straits Times (ST).
Namun, keghairahan orang ramai menyebabkan mereka beberapa kali hampir merempuh penghadang yang dipasang bagi mengawal laluan masuk penganut ke dalam kuil selepas upacara utama tamat.
Sekitar 11.30 pagi, di salah sebuah khemah, sebahagian kumpulan penganut mula menolak sehingga melangkaui penghadang.
Penganjur dan sukarelawan memohon agar orang ramai berhenti menolak.
Kumpulan tersebut, yang menunggu giliran untuk masuk ke ruang lebih dalam akhirnya bersurai selepas polis tiba di lokasi di Geylang East Avenue 2.
Dua kanak-kanak kecil telah dibawa keluar dari kawasan yang sesak dan diberikan tempat duduk serta air oleh sukarelawan, manakala seorang petugas perubatan dilihat sedang merawat seorang lelaki.
Antara yang terperangkap dalam barisan ialah Cik Kumari Muthu, 63 tahun, seorang jururawat yang sudah berada di kuil tersebut sejak 5.30 pagi.
“(Keadaan) tolak-menolak itu sangat teruk… saya tidak pernah alami situasi seperti ini sebelum ini. Saya sangat takut mereka akan menolak orang tua; lain kali, sepatutnya ada barisan berasingan untuk lelaki, wanita, warga emas dan kanak-kanak,” kata Cik Kumari.
Kesesakan itu mula reda selepas ketibaan polis sekitar tengah hari dan orang ramai bersurai dalam masa 45 minit.
ST telah menghubungi Lembaga Endowmen Hindu (HEB), yang menguruskan kuil tersebut, untuk mendapatkan ulasan mengenai kejadian itu.
Kuil tersebut asalnya didirikan di sebuah tapak di Orchard Road pada 1868, kemudian berpindah ke premis sementara pada 1983 sebelum akhirnya berada di lokasi sekarang di Geylang East pada 1993.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg