Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 300 pokok terjejas dek hujan lebat pada 17 Sep

Sep 19, 2024 | 6:00 PM
Pekerja menangani pokok tumbang di sepanjang Choa Chu Kang Grove selepas hujan lebat dan angin kencang melanda Singapura pada petang 17 September.
Pekerja menangani pokok tumbang di sepanjang Choa Chu Kang Grove selepas hujan lebat dan angin kencang melanda Singapura pada petang 17 September. - Foto ST

Lebih 300 pokok terjejas di seluruh pulau ini apabila hujan sangat lebat akibat badai Sumatera melanda Singapura pada petang 17 September.

Media sosial dipenuhi dengan gambar dan video pokok tumbang di pelbagai kawasan, termasuk di Beach Road, Xilin Avenue, Jalan Membina, di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) sebelum susur keluar Ekspreswe Bukit Timah (BKE), dan di Ekspreswe Central (CTE) berhampiran jejambat Yio Chu Kang.

Seorang kapten bas SBS Transit dan seorang penumpang dibawa ke hospital dalam keadaan sedar selepas sebatang pokok tumbang menimpa bas yang mereka naiki kira-kira 7.25 malam di Yishun Avenue 7.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata kebanyakan daripada lebih 300 insiden itu melibatkan dahan patah, tetapi tidak menyatakan berapa banyak pokok tumbang.

“Kakitangan dan kontraktor kami bekerja sepanjang malam untuk membersihkan halangan-halangan itu, dan membersihkan sebarang serpihan,” kata NParks.

Satu kawasan yang terjejas ialah MacRitchie Nature Trail, di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah, dengan beberapa pokok tumbang.

Bahagian laluan ‘boardwalk’ yang terjejas itu telah dikepung untuk pemeriksaan dan pembaikan, dengan papan tanda mengarahkan pelawat menggunakan laluan alternatif.

“Untuk keselamatan awam, kami menggesa orang ramai supaya mengelak daripada memasuki taman, hutan simpanan dan kawasan hutan lain semasa dan selepas cuaca buruk, dan untuk mendapatkan perlindungan di tempat terdekat,” kata NParks.

“Pelawat taman juga harus mematuhi waktu pembukaan kawasan alam semula jadi kami dan menggunakan laluan yang ditetapkan.”

Sesiapa yang terjejas oleh pokok tumbang di tempat awam boleh menggunakan aplikasi OneService untuk melaporkan kejadian itu atau menghubungi talian bantuan NParks di 1800-471-7300 untuk kes kecemasan, tambahnya.

Cik Arti Mulchand, 47 tahun, seorang pakar strategi, yang sering melawat Kolam Air MacRitchie sejak tiga tahun lalu, berkata beliau terlihat pokok tumbang di laluan ‘boardwalk’ Jejak Chemperai pada pagi 18 September.

Dalam foto yang dikongsinya dengan ST, kelihatan beberapa pokok lain juga tumbang ke dalam air.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg