Lebih 3,000 penduduk daripada 1,000 isi rumah berpendapatan rendah di kawasan Tampines, Punggol dan Pasir Ris-Changi bakal mendapat akses kepada makanan segar dan hangat menerusi loker makanan berhampiran kediaman mereka.

Demikian melalui inisiatif baharu, ‘Warm Meals @ North East’, di mana sebanyak 165,000 hidangan akan disediakan selama setahun, dengan setiap isi rumah yang layak bakal menerima kredit makanan bernilai $500.

Program hasil kerjasama bank OCBC dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East dengan sokongan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) itu dilancarkan di Blok 603A, Tampines Avenue 9, pada 21 Ogos.

Lokasi itu merupakan antara lebih 30 loker makanan yang ditempatkan di kolong atau berhampiran blok sewa HDB di Tampines, Punggol dan Pasir Ris-Changi.

Program itu disokong komitmen dana bersama sebanyak $500,000 daripada OCBC dan CDC North East.

Berucap pada majlis pelancaran itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata program tersebut melengkapi sokongan sedia ada yang disediakan pemerintah.

Menurut Encik Masagos, meskipun hidangan yang dimasak di rumah kekal penting bagi banyak keluarga, program itu menawarkan pilihan lebih mudah apabila mereka memerlukannya.

“Bagi kebanyakan kita, menikmati hidangan hangat pada penghujung hari merupakan sesuatu yang biasa sehingga sering kita anggap remeh.

“Namun bagi sesetengah keluarga, adanya hidangan hangat bermakna satu perkara yang tidak lagi perlu dirisaukan di tengah-tengah tuntutan kehidupan seharian,” ujar Encik Masagos.

Di bawah program tersebut, kredit makanan akan diagihkan secara berperingkat mulai September dan dimasukkan ke dalam akaun penerima menerusi aplikasi mudah alih ‘Ami’.

Orang ramai juga boleh membuat pesanan makanan lebih awal atau membeli hidangan pada harga $3 setiap satu.

Hidangan yang dibekalkan Chang Cheng Group itu disahkan halal dan mengandungi gabungan protein, sayur-sayuran dan karbohidrat yang seimbang, ujar kenyataan bersama OCBC dan CDC North East.

Antara hidangan yang dilihat Berita Harian (BH) terdiri daripada spageti berkrim dengan ayam panggang, udon ayam goreng, rendang ayam, nasi tauhu vegetarian dengan sos cendawan dan nasi ikan teriyaki.

Hidangan seperti spageti berkrim dengan ayam panggang, udon ayam goreng, rendang ayam, nasi tauhu vegetarian dengan sos cendawan dan nasi ikan teriyaki disediakan di antara 30 loker makanan ‘Warm Meals @ North East’.
Hidangan seperti spageti berkrim dengan ayam panggang, udon ayam goreng, rendang ayam, nasi tauhu vegetarian dengan sos cendawan dan nasi ikan teriyaki disediakan di antara 30 loker makanan ‘Warm Meals @ North East’. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Menu akan ditukar secara berkala dan disemak berdasarkan pilihan serta maklum balas penduduk, tambah kenyataan itu.

Mayor CDC North East, Encik Baey Yam Keng, berkata program itu merupakan tindak balas langsung terhadap keperluan penduduk dan diharap dapat meringankan tekanan harian keluarga berpendapatan rendah.

“Akses kepada makanan berkhasiat merupakan keperluan asas bagi setiap keluarga.

“Melalui kerjasama kami dengan OCBC dan MSF, kami dapat menyediakan sokongan bermakna yang menangani secara langsung kebimbangan penduduk untuk mendapatkan makanan yang baik buat mereka.

“Kami berharap dapat meringankan tekanan harian dan memperkukuh ekosistem sokongan sedia ada bagi isi rumah berpendapatan rendah dalam masyarakat,” kata Encik Baey.

Program itu akan dilaksanakan selama 12 bulan sebelum disemak semula berdasarkan sambutan bagi menentukan sama ada ia akan diteruskan atau diperluaskan, ujar Ketua Jenama dan Komunikasi Kumpulan OCBC, Cik Koh Ching Ching.

“Pihak kami sentiasa mencari inisiatif yang dapat memberi kesan bermakna. Kami tidak mahu sekadar menyumbang wang tunai tanpa mengetahui dengan jelas bagaimana ia digunakan.

“Dengan kami dapat melihat sendiri bagaimana dana yang disumbangkan diterjemahkan secara langsung kepada hidangan hangat untuk keluarga berpendapatan rendah,” kata Cik Koh.

Sebagai pencari nafkah tunggal dan bapa kepada tiga anak kecil, Encik Zainul Arifin Sulong, 43 tahun, beliau menyambut baik daya usaha itu.

Bagi penduduk Tampines Avenue 8 dan rumah tiga bilik itu, loker makanan tersebut memberi keluarganya pilihan tambahan, selain meringankan tanggungjawab isterinya yang biasanya menyediakan makanan di rumah.

“Dengan adanya program ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan tanggungjawab isteri saya yang biasanya memasak untuk keluarga.

“Sekurang-kurangnya untuk satu waktu makan, beliau boleh berehat dan kami boleh mendapatkan makanan dari loker ini,” kata Encik Zainul.