Lebih 34,000 tan sisa elektronik telah dikumpulkan di seluruh Singapura sejak 2021.
Demi memudahkan proses kitar semula dalam kalangan penduduk, semua kelab masyarakat (CC) akan dilengkapi dengan tong sisa elektronik menjelang Jun 2026.
Hampir 10,000 tan sisa elektronik telah dikumpulkan setakat ini pada 2025, peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding 2024, kata pengendali skim itu, Alba E-Waste Smart Recycling, pada 12 Oktober.
Apabila program itu dimulakan pada 2021 untuk mengitar semula bateri lama, komputer riba dan peralatan besar selain bahan kitar semula lain, jumlah pengumpulan pada awal 2022 adalah sebanyak 3,500 tan, lapor The Straits Times (ST).
Untuk memudahkan orang ramai mencari lokasi pengumpulan sisa elektronik, aplikasi ‘Step Up’ Alba E-Waste telah dipertingkatkan dengan ciri tambahan bagi pengguna mencari tong sisa terdekat, di samping perubahan mesra pengguna lain dan ganjaran untuk kegiatan kitar semula.
Peningkatan dalam skim kitar semula sisa elektronik Singapura itu telah diumumkan oleh Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, pada 12 Oktober pada satu acara untuk memperingati Hari Sisa Elektronik Antarabangsa yang diadakan di Bedok Town Square.
Apabila semua CC mempunyai tong sisa elektronik menjelang pertengahan 2026, akan terdapat 1,057 lokasi pengumpulan di seluruh negara.
Kini terdapat sekitar 1,000 lokasi pengumpulan, berbanding sekitar 870 pada 2024.
Walaupun Singapura telah mengumpul lebih banyak sisa elektronik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alba E-Waste, Encik Jakob Lambsdorff, tidak mahu syarikatnya dan orang ramai berpuas hati dengan pencapaian itu.
Kadar kitar semula isi rumah Singapura pada 2024 telah jatuh ke paras terendah iaitu 11 peratus.
Antara faktor utama bagi kadar rendah itu termasuk budaya kitar semula yang lemah, pencemaran dalam tong kitar semula berwarna biru, dan cabaran perniagaan.
Menurut laporan media baru-baru ini, syarikat kitar semula SG Recycle akan menutup bahagian kitar semula kertasnya akibat masalah pembiayaan.
Memandangkan Alba sedang menambah lebih banyak lokasi tong sisa elektronik di kawasan perumahan, Encik Lambsdorff berharap kadar kitar semula akan terus meningkat.
“Kami ingin menjadikannya lebih mudah bagi orang ramai... Kami percaya masih ada ruang untuk meningkatkan kadar pengumpulan,” katanya.
Satu kajian pada 2018 mendapati, lebih daripada 60,000 tan sisa elektronik dihasilkan di Singapura setiap tahun, dan hanya 6 peratus daripada jumlah itu yang dikitar semula.
Sisa elektronik mengandungi logam berat dan bahan berbahaya yang, jika dibuang dengan cara yang tidak betul, boleh membahayakan kesihatan awam dan mencemari alam sekitar, kata Dr Janil.
Bateri lama, komputer riba dan peti sejuk adalah sumber logam dan bahan lain yang boleh dikitar semula, untuk mengurangkan perlombongan bahan mentah.
Pada 2021, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melantik Alba untuk mengumpul sisa elektronik pengguna yang terkawal di seluruh Singapura dan menghantarnya untuk dikitar semula bagi pihak pengeluar.
Program itu dibiayai oleh syarikat tempatan yang membekal, mengeluarkan dan mengimport barangan elektronik di sini.
Lokasi pengumpulan sisa elektronik Alba termasuk pusat membeli-belah, kedai elektronik, pasar raya dan CC.
Ia mempunyai empat jenis tong sisa, termasuk satu yang hanya menerima bateri isi rumah.
Bertindak atas maklum balas pengguna, aplikasi ‘Step Up’ kini mempunyai ciri pengesan tong untuk membantu pengguna mencari tempat pengumpulan sisa elektronik terdekat. Paparan dan reka letak aplikasi itu juga telah dipertingkatkan untuk menjadikannya lebih mesra pengguna.
Sejak Januari, skim itu telah menambah perkhidmatan pengambilan percuma dari rumah untuk peralatan besar seperti peti sejuk, mesin basuh dan penghawa dingin.
Pada 2024, peralatan isi rumah besar, terutamanya penghawa dingin, menyumbang sebahagian besar sisa elektronik yang dikumpulkan, diikuti oleh peralatan teknologi perhubungan dan maklumat (ICT) dan bateri mudah alih, kata Alba.
Encik Lambsdorff menambah bahawa barangan lebih kecil seperti pengecas mudah alih dan bateri – yang penting untuk mendapatkan semula bahan mentah yang berharga – masih kurang dikumpulkan.
Bateri litium-ion boleh menyebabkan risiko kebakaran dan keselamatan jika dibuang bersama sisa biasa atau dalam tong kitar semula biru.
Lampu dalam bentuk tiub pendarfluor dan mentol sering dibuang ke dalam tong sampah walaupun mengandungi sejumlah kecil raksa yang perlu dirawat dengan teliti, katanya.
Meningkatkan pengumpulan barangan lampu seperti ini adalah penting untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar dan memastikan keselamatan proses kitar semula.
Sesetengah orang juga cenderung menyimpan telefon bimbit dan komputer riba lama mereka kerana bimbang tentang keselamatan data.
“Kemudahan, aksesibiliti dan pendidikan perlu seiring untuk memastikan kegiatan kitar semula yang selamat dan bertanggungjawab,” kata Encik Lambsdorff, menggesa lebih ramai penduduk mengitar semula peranti lama mereka.
Dr Janil berkata pengurusan sisa memerlukan penyertaan semua pihak – daripada membeli dengan bijak, menggunakan peranti hingga jangka hayat sepenuhnya, hingga kepada mengitar semula secara bertanggungjawab.
Lebih 80 sekolah, daripada prasekolah hingga kepada institusi pengajian tinggi (IHL), sedang mengambil bahagian dalam cabaran kebangsaan untuk menggalakkan pelajar mengitar semula bateri.
Setakat 1 Julai, lebih daripada 338 kilogram bateri telah dikumpulkan melalui pertandingan itu, yang akan berakhir pada Februari 2026.
Pelajar Darjah 5 Sekolah Rendah Bedok Green, Basyeerah Muhammad Muzzammil, berkata pertandingan itu membuatkannya berfikir dua kali sebelum membuang peranti elektroniknya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg