Seorang remaja perempuan yang mengiklankan vape untuk dijual telah dijatuhkan hukuman probesen selama setahun enam bulan.
Albee Chai Buo Yin, kini 20 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan memiliki produk tembakau tiruan dan satu lagi pertuduhan mengiklankan penjualan vape di wadah pesanan WhatsApp.
Hukuman Chai pada 25 November bermakna dia perlu duduk di rumah antara 10 malam dengan 6 pagi sepanjang tempoh probesen, selain menjalankan 50 jam kerja khidmat masyarakat.
Pada Oktober 2024, remaja itu mengiklankan pelbagai jenis vape untuk dijual melalui WhatsApp, lapor The Straits Times (ST).
Dua bulan kemudian, pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyerbu kediamannya di Jurong West dan menemui enam vape pakai buang serta satu peranti vape yang dipasang dengan pod vape.
Chai mendakwa ketujuh-tujuh peranti itu adalah untuk kegunaan peribadinya.
Pegawai HSA turut menemui mesej pada telefon Chai yang mendedahkan dia pernah membantu rakannya membeli vape di Johor Bahru untuk dihantar ke Singapura.
Dalam kes berasingan, Klein Kong Yan Kai, 20 tahun, dikenakan satu pertuduhan pada 25 November kerana dipercayai memiliki produk tembakau tiruan.
Kong didapati memiliki satu peranti vape di stesen MRT Lakeside pada 21 Jun.
Siasatan mendedahkan dia telah membeli tiga pod vape pada 27 April dengan harga $28 dan dua pod pada 20 Mei dengan harga $45.50.
Kong dijadual kembali ke mahkamah pada 6 Januari 2026, selepas hakim meminta laporan kesesuaian probesen.
Untuk melaporkan kesalahan berkaitan vape, orang ramai boleh menghubungi talian Cawangan Pengawalan Tembakau di 6684-2036 atau 6684-2037 dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, termasuk cuti umum.
Laporan juga boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan, www.go.gov.sg/reportvape.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg