Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 45,000 pengguna MyRepublic terjejas gangguan rangkaian

Jul 21, 2024 | 6:46 PM
Menurut Downdetector, terdapat peningkatan dalam bilangan gangguan yang dilaporkan sekitar 3 pagi pada 21 Julai.
Menurut Downdetector, terdapat peningkatan dalam bilangan gangguan yang dilaporkan sekitar 3 pagi pada 21 Julai. - Foto TANGKAP LAYAR DOWNDETECTOR

Seramai 45,637 pengguna MyRepublic terjejas pada awal pagi 21 Julai apabila perkhidmatan jalur lebar penyedia khidmat internet itu mengalami gangguan rangkaian.

Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST), naib presiden pengguna MyRepublic, Encik Terry Williams, berkata:

“Kegagalan itu disebabkan oleh pembekal peralatan huluan atau ‘upstream’ yang tidak sepatutnya memberi kesan kepada perkhidmatan.

“Penyelenggaraan itu adalah sebahagian daripada kerja-kerja menaik taraf rangkaian.”

Beliau menambah bahawa pembaikan itu “berlaku serta-merta” tetapi sesetengah pelanggan perlu menghidupkan semula terminal rangkaian optik (ONT) atau modem mereka untuk memulihkan sambungan rangkaian.

Mereka yang menghidupkan semula ONT atau modem kini kembali dalam talian, katanya.

Menurut laman web penjejakan gangguan Downdetector, terdapat peningkatan dalam bilangan gangguan yang dilaporkan sekitar 3 pagi pada 21 Julai. Pada 3.03 pagi, sebanyak 751 laporan telah dibuat.

Bilangan laporan turun kepada 99 sejam kemudian pada 4.03 pagi, tetapi kemudian naik kepada 183 pada 9.18 pagi.

Laporan masih dibuat pada 2.38 petang.

Sekitar 96 peratus daripada mereka yang membuat laporan berkata mereka mengalami masalah Internet.

Beberapa pengguna di media sosial berkata perkhidmatan itu terjejas di kawasan seperti Bishan dan Tampines.

Dalam kiriman teks MyRepublic kepada beberapa pengguna pada sekitar 11 pagi, sambungan rangkaian itu dikatakan “dipulihkan sepenuhnya”.

“Jika anda masih di luar talian, sila but semula modem/ONT dan ‘router’ anda. Tunggu 10 hingga 15 minit untuk pemulihan sambungan rangkaian,” kata mesej itu.

Ditanya sama ada gangguan sedemikian kerap berlaku dan bila gangguan serupa kali terakhir berlaku, Encik Williams berkata:

“Tidak, tidak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”

Beliau menambah: “Kami akan mengkaji semula isu itu dengan vendor dan pembekal peralatan huluan kami untuk membantu memastikan proses baru disediakan untuk mengelakkan perkara ini berulang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg