Lebih 450,000 warga emas Singapura berusia 60 tahun dan ke atas pada 2025 telah menebus Baucar SG60 sejak ia dilancarkan pada 1 Julai, kata Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 2 Julai, beliau memberi maklumat terkini itu, sambil menggesa orang ramai agar berwaspada terhadap taktik penipuan yang menyalahgunakan skim tersebut.
“Orang ramai dinasihati supaya berjaga-jaga terhadap taktik penipuan berkaitan dengan Baucar SG60,” kata beliau.
Cik Low menekankan tiada maklumat bank atau transaksi kewangan diperlukan dalam proses memperolehi baucar itu.
Maka Cik Low menggesa warga emas yang memerlukan bantuan untuk menebus baucar secara digital agar mengunjungi Kelab Masyarakat (CC) atau Hab Komuniti Digital SG.
“Di sana, kakitangan Persatuan Rakyat (PA) dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), bersama sukarelawan belia, pelajar dan Duta Pejabat Digital Singapura (SDO), akan hadir untuk membantu anda,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menghubungi talian bantuan ScamShield di 1799 jika timbul sebarang keraguan.
Sebarang kegiatan penipuan juga boleh dilaporkan di laman web, www.police.gov.sg/i-witness atau menerusi talian 1800-255-0000.
Secara keseluruhan, sekitar sejuta rakyat Singapura dewasa bakal meraih manfaat daripada skim baucar itu.
Separuh daripada nilai baucar boleh digunakan di pasar raya yang mengambil bahagian, manakala separuh lagi boleh dibelanjakan di gerai makanan dan kedai di estet kejiranan.
Warga Singapura yang layak boleh menebus baucar mereka menerusi laman web rasmi go.gov.sg/SG60vouchers dan menggunakan akaun Singpass.
Mereka kemudian akan menerima pautan web unik melalui pesanan ringkas (SMS) daripada gov.sg.
Pautan tersebut akan membuka laman web yang memaparkan nilai baucar yang diperoleh, serta kod QR yang perlu ditunjukkan kepada pekedai semasa membuat pembelian.
Warga Singapura berusia 60 tahun dan ke atas (lahir pada 1965 atau sebelumnya) boleh menebus $800 dalam Baucar SG60 mulai 1 Julai 2025, manakala warga berusia 21 hingga 59 tahun (lahir antara 1966 dengan 2004) pula boleh menebus $600 mulai 22 Julai 2025, mulai 10 pagi.
Ia sah digunakan sehingga 31 Disember 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg