Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baucar SG60: Warga emas terima $800 mulai 1 Jul, dewasa lain $600 mulai 22 Jul

Warga S’pura berusia 60 tahun dan ke atas akan dapat baucar bernilai $800, warga berusia 21 hingga 59 tahun akan dapat $600
Jul 1, 2025 | 10:30 AM
Singapura, Baucar SG60, Low Yen Ling
Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan) merangkap Pengerusi jawatankuasa Mayor yang juga Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling, beramah mesra bersama artis tempatan, Encik Fish Jaafar, di hadapan salah satu reka bentuk poskad SG60 yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-60 Singapura. - Foto ST

Warga Singapura berusia 60 tahun dan ke atas boleh mendapatkan baucar SG60 bernilai $800 mulai 1 Julai, sekitar tiga minggu lebih awal berbanding warga Singapura yang lain.

Warga berusia 21 hingga 59 tahun pula boleh mendapatkan baucar $600 mulai 22 Julai.

Demikian diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, melalui satu hantaran di Facebook pada 1 Julai, yang berkata ia satu cara untuk mengiktiraf sumbangan warga dalam usaha membangun negara.

Baucar SG60 itu diberikan kepada warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas sempena ulang tahun ke-60 negara pada tahun ini (2025).

Pemberian baucar itu pertama kali diumumkan pada Belanjawan 2025.

Memberi perincian mengenai baucar itu semasa bertemu media pada 25 Jun, Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, menjelaskan bahawa baucar tersebut juga bertujuan membantu rakyat menangani kos sara hidup yang meningkat.

“Daya usaha ini adalah salah satu cara untuk kami merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Singapura atas semangat perpaduan dan usaha bersama untuk terus memajukan negara kita,” kata beliau.

Cara memperoleh dan menggunakan baucar SG60 itu serupa dengan cara mendapatkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Warga yang layak boleh ‘menebus’ baucar yang diperuntuk masing-masing di laman web rasmi RedeemSG dengan menggunakan Singpass.

Menyusuli itu, mereka akan menerima pautan web unik melalui SMS yang dihantar daripada akaun pemerintah gov.sg.

Apabila diklik, pautan web itu akan membuka laman web yang membolehkan pengguna melihat baucar yang diterima.

Laman web tersebut juga memaparkan kod QR yang perlu ditunjukkan kepada pekedai semasa membuat pembelian.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa menebus baucar SG60 memandangkan ia sah sehingga 31 Disember 2026.

Sekitar sejuta rakyat Singapura dewasa boleh meraih manfaat baucar ini.

Separuh daripada nilai baucar itu boleh dibelanjakan di pasar raya yang menerima baucar tersebut, manakala separuh lagi di gerai makanan dan kedai di estet kejiranan.

Menjawab pertanyaan media, Cik Low berkata bahawa sokongan berterusan terhadap gerai-gerai di kawasan kejiranan dijangka dapat menyemarakkan suasana sambutan SG60 serta menggalakkan semangat “membeli di kejiranan sendiri”.

“Pelaksanaan baucar SG60 dibina atas kejayaan baucar CDC yang telah menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang disokong oleh lebih 23,000 gerai dan penjaja di kawasan kejiranan, serta lapan rangkaian pasar raya dengan 400 cawangan di seluruh negara,” kata beliau.

Bagi mengekang kes penipuan, pemerintah berkata ia tidak menghantar sebarang SMS sebelum baucar ini dilancarkan atau memohon maklumat peribadi.

Untuk golongan yang kurang mahir digital, anggota keluarga digalakkan membantu dalam membuat tuntutan tersebut.

Namun, mereka yang memerlukan sokongan tambahan boleh pergi ke pusat atau kelab masyarakat berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Dalam semangat daya usaha Melakar Hala Tuju Singapura yang menekankan keterangkuman, setiap rakyat Singapura juga akan menerima poskad SG60 bergambar yang disertai dengan ucapan khas daripada Encik Wong.

Poskad SG60 akan dihantar terus ke peti surat kediaman rakyat mulai 1 Julai, menampilkan ilustrasi hasil kerjasama dengan enam artis berkeupayaan berbeza, termasuk individu dalam spektrum autisme.

Enam corak poskad edisi khas SG60 yang dihasilkan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura menampilkan ilustrasi hasil kerjasama dengan enam artis berkeupayaan berbeza, termasuk individu dalam spektrum autisme, bagi mencerminkan semangat keterangkuman dan kekitaan.
Enam corak poskad edisi khas SG60 yang dihasilkan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura menampilkan ilustrasi hasil kerjasama dengan enam artis berkeupayaan berbeza, termasuk individu dalam spektrum autisme, bagi mencerminkan semangat keterangkuman dan kekitaan. - Foto ST

“Kami bekerjasama dengan tujuh artis berkeupayaan berbeza untuk mereka bentuk enam poskad SG60 sebagai satu cara untuk mencerminkan semangat kekitaan Singapura, iaitu semangat keterangkuman.

“Ini merupakan prinsip penting dalam meraikan ulang tahun ke-60 negara,” kata Cik Low.

Enam reka bentuk itu juga membolehkan setiap anggota dalam sesebuah keluarga menerima poskad dengan corak berbeza.

“Usaha ini, yang diteruskan dengan kerjasama SingPost, bukan sahaja menjadikan sambutan ini lebih bermakna dan menyeronokkan, malah turut menyampaikan mesej secara langsung daripada Perdana Menteri kepada lebih tiga juta rakyat Singapura atas usaha mereka membina kejayaan Singapura,” ujar Cik Low.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg