Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 30 AP bakal bangkitkan isu jerebu di Parlimen
Parlimen bakal bahas pindaan undang-undang jerebu, AP persoal kesan terhadap pekerja luar bangunan dan golongan mudah terjejas
Lebih 30 AP bakal bangkitkan isu jerebu di Parlimen
Tindakan Singapura menangani jerebu dijangka menjadi antara perkara utama yang dibincangkan di Parlimen minggu ini, dengan kuasa perundangan dan kawal selia yang dimiliki Singapura menjadi tumpuan.
Lebih 30 Anggota Parlimen (AP) dijangka mengemukakan lebih 50 soalan mengenai langkah Singapura menangani jerebu yang semakin buruk pada awal September, paling teruk dalam tempoh lebih sedekad.
Pemerintah akan membentangkan pindaan undang-undang jerebu minggu ini bagi memperkukuh tindakan terhadap syarikat yang bertanggungjawab terhadap pembakaran hutan secara meluas di Indonesia.
Kebanyakan soalan tertumpu kepada Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) 2014, yang menyasarkan pihak yang menyebabkan atau membiarkan kebakaran berlaku.
Akta itu boleh dikuatkuasakan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) kekal tidak sihat selama sekurang-kurangnya 24 jam.
Tiada denda atau sabitan direkodkan meskipun notis pencegahan dikeluarkan pada 2015 dan 2026.
Daripada enam kes pada 2015, dua ditutup manakala empat masih tertangguh.
AP daripada kedua-dua pihak di Parlimen mempersoalkan kedudukan kes, cabaran penguatkuasaan serta keperluan pindaan undang-undang.
Mereka turut bertanya bagaimana syarikat berkaitan jerebu dapat dikenal pasti dan dikenakan tindakan.
AP Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Charlene Chen (GRC Tampines), membangkitkan kesukaran menentukan liabiliti syarikat yang mempunyai struktur pemilikan rumit.
AP Parti Pekerja (WP), Encik Jamus Lim (GRC Sengkang), meminta penjelasan mengenai maklumat daripada Indonesia dan empat syarikat terbabit serta bukti yang diperlukan untuk pendakwaan atau penutupan kes.
Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, pada 28 Oktober menjelaskan pindaan yang bakal dibuat terhadap THPA yang mewajibkan syarikat memberikan kebenaran penuh kepada penyiasat untuk mendapatkan maklumat, memeriksa dokumen syarikat dan memasuki tapak perniagaan.
Beliau turut menyatakan pindaan boleh dibentangkan segera menggunakan sijil perakuan segera yang ditandatangani Presiden, membolehkan perbahasan dan pengundian dalam persidangan yang sama.
Pindaan THPA tidak disenaraikan pada sidang Parlimen 3 November, tetapi mungkin dibentangkan pada 4 November.
AP turut membangkitkan kesan jerebu terhadap pekerja luar bangunan, pelajar dan pesakit.
Cik Nadia Ahmad Samdin (GRC Ang Mo Kio) mempersoalkan kecukupan penapisan udara di kemudahan awam, manakala Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) meminta ramalan PM2.5 bagi tempoh lebih panjang.
Secara berasingan, sekurang-kurangnya enam soalan menyentuh cadangan perubahan sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 8 Oktober.
LTA mencadangkan penggabungan kategori A dan B serta rebat atau caj tambahan berdasarkan nilai kereta bagi membezakan harga kenderaan biasa dan mewah.
AP bimbang kesannya terhadap harga kereta pasaran umum dan penggunaan kenderaan elektrik berprestasi tinggi.
AP turut mempersoalkan sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) berasaskan satelit yang akan digunakan mulai 2027.
Cik Tin Pei Ling (GRC Marine Parade-Braddell Heights) bertanya mengenai keupayaan penguatkuasaan dan penggunaan data untuk siasatan agensi pemerintah.
Parlimen juga akan membahaskan tiga rang undang-undang, termasuk memudahkan perceraian pasangan Islam.
Di bawah pindaan yang dicadangkan terhadap undang-undang Islam, pasangan yang bersetuju bercerai dan menyelesaikan semua urusan berkaitan mungkin dapat mempercepat proses sekurang-kurangnya enam bulan tanpa melantik hakam atau pendamai rumahtangga.
Sementara itu, pindaan undang-undang bagi memperketat pelesenan perkhidmatan maritim dan memperluas kuasa kawal selia Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) turut akan dibahaskan.
Jika diluluskan, MPA juga boleh menetapkan keperluan keselamatan siber dan mengeluarkan arahan bagi melindungi sistem serta prasarana sektor maritim.