Sekurang-kurangnya 5,300 isi rumah dengan bayi yang dilahirkan pada 2025 telah mendaftar untuk menerima pengagihan pertama Hadiah Bayi SG60 yang mengandungi mainan, beg galas serta pelbagai barangan lain.
Hadiah istimewa yang mula diagihkan pada 12 April itu adalah sebahagian daripada usaha pemerintah menggalak pasangan menimang cahaya mata, berikutan kadar kesuburan penduduk Singapura yang jatuh ke paras terendah dalam sejarah iaitu 0.97 pada 2024.
“Kami memahami terdapat banyak kebimbangan. Ibu bapa ingin menambah bilangan anak tetapi sering berkongsi bahawa kos menjadi satu keprihatinan utama,” kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa melancarkan acara pengagihan hadiah tersebut.
Menurutnya, pemerintah akan melakukan sedaya upaya untuk menyokong keluarga di sini.
Encik Wong melancarkan pengagihan Hadiah Bayi SG60 di acara, ‘Celebrating Our Families – My Family Carnival’ yang dianjurkan Persatuan Rakyat (PA) pada 12 April.
Karnival itu merupakan yang pertama daripada 34 acara kemasyarakatan bagi meraikan keluarga dan bayi yang lahir pada 2025.
Encik Wong berkata: “Sudah tentu, pemerintah akan melakukan lebih daripada sekadar menyediakan hadiah SG60 bagi bayi tahun ini (2025).”
Bantuan lain termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $800 bagi setiap isi rumah dan baucar SG60 bagi setiap rakyat Singapura, juga boleh dijangkakan pada 2025.
Sesetengah sokongan yang akan ditawarkan itu, tambah beliau, bukan bersifat sekali sahaja.
Keluarga besar akan menerima tambahan Kredit LifeSG sebanyak $1,000 setiap tahun bagi anak ketiga dan seterusnya, sepanjang tempoh usia anak dari satu hingga enam tahun.
Sementara itu, menyentuh tentang peningkatan tarif dagang yang telah mewujudkan ketidaktentuan sejagat, Encik Wong yang juga Menteri Kewangan berkata, walau apa pun yang terjadi, pemerintah akan memastikan Singapura kekal sebagai sebuah negara yang stabil dan penuh harapan.
Encik Wong menambah, pemerintah bersedia untuk campur tangan jika tekanan kos terus meningkat.
“Kami akan terus mendampingi ibu bapa dan anak-anak dalam setiap langkah dan bekerjasama dengan anda semua untuk membina sebuah Singapura yang mesra keluarga,” tambah Encik Wong.
Semua bayi Singapura yang lahir antara 1 Januari dengan 31 Disember 2025 layak menerima hadiah SG60.
Ibu bapa perlu menyelesaikan pendaftaran kelahiran anak mereka sebelum mendaftar untuk mendapatkan hadiah tersebut.
Pendaftaran dibuka sejak 28 Februari dan akan ditutup setahun kemudian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg