Gambar berkumpulan semua pasukan sepak takraw yang berganding bahu mengumpulkan dana bagi menyokong perkhidmatan pendidikan dan rumah kebajikan Pertapis, dari 24 hingga 25 Oktober di Wisma Geylang Serai.
Gambar berkumpulan semua pasukan sepak takraw yang berganding bahu mengumpulkan dana bagi menyokong perkhidmatan pendidikan dan rumah kebajikan Pertapis, dari 24 hingga 25 Oktober di Wisma Geylang Serai. - Foto PERTAPIS

Lebih $6,000 dikumpulkan bagi membantu golongan memerlukan menerusi acara pengumpulan dana sepak takraw ‘Give To Life’ yang berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober di Wisma Geylang Serai.

Inisiatif yang diterajui masyarakat itu dianjurkan syarikat pengilangan TW3TY GROUP PTE. LTD dan menghimpunkan sekitar 400 peserta.

Ini termasuk pasukan sepak takraw tempatan dan penyokong untuk mengumpul dana serta meningkatkan kesedaran tentang program kebajikan Pertapis dan masyarakat yang dibantunya, di samping memupuk semangat kemasyarakatan menerusi sukan.

Pada 25 Oktober, tetamu terhormat Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, menyampaikan cek simbolik bernilai $6,680 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz.

Namun, jumlah tertera pada cek simbolik itu bukan jumlah akhir kutipan dana yang telah disahkan. Penganjur masih menyelaraskan sumbangan yang diterima dan berkemungkinan menerima dana tambahan.

Sejak 1970, Pertapis telah membantu individu dan keluarga dalam masyarakat menerusi pelbagai perkhidmatan pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan bagi golongan memerlukan.

Antara golongan yang menerima manfaat ialah warga emas menerusi Pertapis Senior Citizens Fellowship.

Pertapis juga menyediakan khidmat pemulihan berasaskan masyarakat kepada sekitar 100 pesalah dan individu yang mempunyai masalah penyalahgunaan bahan, dengan kebanyakannya merupakan bekas penyalah guna bahan terlarang.

(Dari kiri) Penganjur dan pengasas bersama acara ‘Give To Life’, Encik Zamri Kamsin; penganjur dan pengasas bersama, Cik Junaidah Abdullah; tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz; dan pengasas acara dan wakil TW3TY GROUP PTE LTD, Encik Shaz Samri.
(Dari kiri) Penganjur dan pengasas bersama acara ‘Give To Life’, Encik Zamri Kamsin; penganjur dan pengasas bersama, Cik Junaidah Abdullah; tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz; dan pengasas acara dan wakil TW3TY GROUP PTE LTD, Encik Shaz Samri. - Foto PERTAPIS

Pertapis turut mengendalikan rumah kanak-kanak yang menyediakan penjagaan kepada 60 kanak-kanak dan remaja berusia antara empat dengan 18 tahun.

Kebanyakan mereka merupakan mangsa penderaan yang dirujuk oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Mahkamah Belia untuk mendapatkan aturan penjagaan alternatif.

Selain itu, Pertapis menyediakan penjagaan kediaman kepada wanita dan gadis yang sering menjadi mangsa penderaan, berasal daripada keluarga bermasalah atau berkonflik dengan undang-undang.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti