Lebih $600 juta akan disediakan pemerintah dan Lembaga Tote bagi memadankan derma yang dibuat kepada badan amal dan atas tujuan sosial, sebagai usaha menggalakkan semangat dermawan.
Ini termasuk geran SG Gives bernilai $250 juta yang akan memadankan derma dengan jumlah yang sama untuk program-program yang dianjurkan melalui Dana Masyarakat, Cabaran Presiden, dan inisiatif yang memperkasa keluarga berpendapatan rendah, Collective for a Stronger Society.
Program-program ini termasuk KidStart, ComLink+, dan Program Mengukuhkan Keluarga oleh New Life Stories (NLS), yang membantu bekas banduan dan keluarga mereka, lapor The Straits Times.
Geran baru ini adalah sebahagian sokongan tambahan dan usaha pemerintah dalam mengumpul dana bagi badan amal dan tujuan sosial pada 2025, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari.
Bagi setiap dolar yang didermakan kepada program-program pada 2025, ia akan dipadankan dengan jumlah yang sama di bawah geran padanan.
Derma sebanyak $250,000 atau lebih setahun dengan komitmen selama tiga tahun, akan dipadankan dengan $1.50 untuk setiap $1, bagi menggalakkan pemberian berterusan daripada para dermawan.
Program Pengumpulan Dana Lembaga Tote akan menerima tambahan $270 juta untuk membantu badan amal di Singapura mendapatkan sokongan padanan bagi projek pengumpulan dana mereka.
Program ini juga akan dilanjutkan hingga akhir tahun kewangan 2027.
Sejak 2020, pemerintah dan Lembaga Tote telah menyediakan padanan dolar untuk dolar, dengan had $250,000 setahun.
Pemerintah juga akan menambah $100 juta ke dalam Dana Pemadanan Kebudayaan, yang memadankan setiap sumbangan tunai kepada badan amal seni dan warisan. Dana ini akan dilanjutkan hingga 2029.
Selain itu, kumpulan bantu diri akan menerima tambahan $60 juta dalam tempoh lima tahun untuk membantu mereka menyokong masyarakat dengan lebih baik.
Kumpulan bantu diri seperti Yayasan Mendaki, Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), dan Persatuan Serani (EA) memainkan peranan penting dalam menyokong masyarakat masing-masing, kata Encik Wong.
Pemerintah juga akan mengumumkan secara lebih lanjut mengenai cara rakyat Singapura boleh menyumbangkan baucar SG60 kepada mereka yang lebih memerlukan.
Encik Wong berkata banyak perniagaan tampil menyokong rakyat Singapura semasa SG60 dengan menawarkan diskaun dan promosi khas. Beliau turut menggalakkan lebih banyak perniagaan agar mengambil bahagian dan memberi sokongan.
“Singapura paling kuat apabila kita bersatu.
“Walaupun ada perbezaan, kita semua rakyat Singapura, hidup bersama sebagai satu keluarga. Apabila kita bersatu, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi. Inilah semangat yang menjadikan kita kuat dan terus maju walaupun dunia tidak menentu,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg