Lebih $639,000 denda tertunggak berjaya dikutip daripada 265 pemandu kenderaan asing di pusat pemeriksaan darat Singapura dalam operasi selama tiga hari.

Dalam operasi dari 28 hingga 30 September itu, pemandu asing yang memasuki Singapura melalui pusat pemeriksaan darat ditahan dan diarahkan melunaskan denda tertunggak atas kesalahan kenderaan dan lalu lintas.

Operasi yang diketuai Polis Trafik (TP) itu dibantu pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Dalam kenyataan bersama pada 8 Oktober, enam agensi pemerintah Singapura itu menegaskan negara ini memandang berat kesalahan pemandu asing yang gagal menjelaskan denda mereka.

Tambahnya, operasi berkala dijalankan terhadap pemandu terbabit, manakala mereka yang mempunyai tunggakan denda atas kesalahan lalu lintas, tempat letak kereta atau pelepasan asap kenderaan mungkin dilarang memasuki Singapura.

“Semua pemandu wajib mematuhi undang-undang Singapura dan memainkan peranan dalam membina budaya keselamatan jalan raya yang positif,” tegas pihak berkuasa.

Ini termasuk mematuhi had kelajuan, isyarat lalu lintas, membayar caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) dan tempat letak kereta, meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan serta memastikan pelepasan asap kenderaan tidak melebihi had yang ditetapkan.

Dalam kenyataan itu, pihak berkuasa turut menegaskan bahawa semua kenderaan berdaftar di luar negara mesti mempunyai Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang sah untuk memasuki Singapura.

Mulai 2 November, kenderaan yang didaftarkan di luar negara dan mempunyai tunggakan denda atas kesalahan lalu lintas, tempat letak kereta atau pelepasan asap kenderaan di Singapura tidak lagi boleh memohon atau memperbaharui VEP dengan LTA.

Pihak berkuasa menggesa pemandu asing menyemak denda tertunggak di pautan axs.com.sg sebelum memohon atau memperbaharui VEP dan memasuki Singapura.

Denda boleh dibayar melalui kiosk, laman web dan aplikasi mudah alih AXS, serta laman web dan kaunter khidmat pelanggan agensi pemerintah berkaitan.

Menurut pihak berkuasa, pemandu asing boleh menghubungi agensi berkaitan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kesalahan mereka.