Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih $8j dana wakaf diagih demi perkukuh masyarakat Islam S’pura
Lebih $8j dana wakaf diagih demi perkukuh masyarakat Islam S’pura
MUIS: Agihan dana wakaf tempatan naik 6.6%, sokong program masjid, madrasah, badan amal, badan masyarakat
Lebih $8j dana wakaf diagih demi perkukuh masyarakat Islam S’pura
Lebih $8 juta dana wakaf akan diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi menyokong usaha masjid, madrasah, pertubuhan Islam, badan kebajikan serta penerima manfaat lain di dalam dan di luar negara.
Sebanyak $8.48 juta yang dikumpulkan pada tahun kewangan 2025 bakal diagihkan dengan sebanyak $4.5 juta akan disalurkan kepada penerima di Singapura – naik sebanyak 6.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, sebanyak $3.98 juta lagi akan diagihkan kepada penerima di luar negara mengikut surat ikatan wakaf yang berkaitan, selaras dengan niat para wakif seperti yang termaktub dalam surat ikatan wakaf masing-masing.
Pengumuman tersebut dibuat semasa Majlis Pengagihan Wakaf yang berlangsung di Hab Islam Singapura (SIH) di Braddell Road, yang dihadiri sekitar 70 tetamu undangan dan penerima bantuan.
Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen, berkata sebagai pemegang amanah wakaf, MUIS kekal komited untuk melindungi amanah ini dan memastikan wakaf terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Pengeluaran tahun ini mencerminkan impak berterusan wakaf dan kemurahan hati wakif kami,” kata Encik Kadir.
“Setiap dolar memenuhi hasrat wakif, menyokong mereka yang memerlukan, dan meneruskan legasi pemberian yang memperkukuhkan masjid, madrasah dan masyarakat kami yang lebih luas.”
Di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), MUIS bertanggungjawab untuk memastikan aset wakaf diuruskan dengan baik.
Ini supaya dana itu dapat terus menjana pendapatan yang mampan untuk penerima bantuan yang tertentu, menurut kenyataan MUIS yang dikeluarkan pada 24 Julai.
Menurut MUIS, dana wakaf akan diagihkan kepada 18 masjid, tujuh madrasah sepenuh masa dan sambilan, serta 30 pertubuhan Islam Singapura.
Secara keseluruhannya, masjid akan menerima $2.02 juta, iaitu peningkatan sebanyak 18.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
MUIS menambah jumlah tersebut akan menyokong pembangunan prasarana, program kemasyarakatan dan inisiatif peningkatan keupayaan sektor di seluruh masjid di Singapura.
Selaras dengan niat wakif, madrasah pula akan menerima $780,000 bagi menyokong pendidikan agama serta pembangunan pemimpin masyarakat dan asatizah masa depan.
Bagi pertubuhan amal Islam dan India/Islam, mereka akan menerima $710,000 – peningkatan sebanyak 16.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dana tersebut bakal menyokong program yang tertumpu kepada warga emas, keluarga rentan, usaha pemulihan serta inisiatif sokongan sosial, jelas MUIS.
Di samping itu, sekitar $200,000 akan dikeluarkan untuk menyokong keperluan pengebumian masyarakat, manakala $765,000 akan disalurkan kepada penerima bantuan yang layak, berdasarkan ikatan wakaf.