Impian berbakti kepada masyarakat Islam di Singapura pada jangka masa panjang kini semakin tercapai bagi Cik Hannah Yusra Rashid.

Beliau sudah lama mempunyai minat yang mendalam terhadap tafsiran al-Quran, sekali gus menerapkan pengajaran itu demi menangani isu kontemporari yang dihadapi masyarakat Islam kini.

Berbekal tekad tersebut, beliau memanfaatkan masanya sepanjang menuntut di Madrasah Aljunied Al-Islamiah untuk meraih kecemerlangan dalam kededua disiplin akademik dan agama, di samping aktif menabur bakti kepada masyarakat.

Kecemerlangan holistik yang dipamerkan Cik Hannah, 19 tahun, melayakkan dirinya dinobatkan sebagai ‘valedictorian’, pelajar terbaik yang diminta menyampaikan ucapan salam perpisahan majlis konvokesyen Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Malah, beliau baru-baru ini dianugerahkan biasiswa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) 2026 yang berprestij.

Biasiswa itu menyediakan laluan khusus bagi lulusan madrasah untuk memegang jawatan kepimpinan di institusi masyarakat seperti masjid dan madrasah.

Ia menawarkan pembiayaan sehingga $120,000 dengan komitmen ikatan selama tiga tahun, sekali gus melengkapi anugerah SISS dalam melahirkan pemimpin merentasi pelbagai sektor yang lebih luas demi berkhidmat kepada masyarakat.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di majlis penyampaian biasiswa, Cik Hannah menyifatkan biasiswa itu sebagai langkah penting untuk memenuhi impian berbakti kepada masyarakat Islam yang berbilang bangsa.

“Biasiswa ini bukan sekadar sokongan kewangan tetapi peluang untuk saya membangunkan diri sebagai individu yang dapat menyumbang kepada masyarakat.

“Ia juga satu platform untuk mencabar diri saya dan keluar daripada zon keselesaan, kerana saya dapat memahami masyarakat Singapura dengan lebih mendalam,” kongsinya.

Beliau berharap pengalaman itu akan membantunya berbakti kepada komuniti setempat dengan berkesan pada masa hadapan.

Kini, anak ketiga daripada empat beradik itu berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang tafsir di Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Setelah mendalami bidang ini, saya ingin menyumbang kepada masyarakat Islam dengan mengaplikasikan ajaran tersebut ke dalam konteks masyarakat moden,” jelasnya.

Apabila melangkah ke universiti, Cik Hannah boleh bergantung kepada pengalaman menguasai bidang akademik Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) dan Azhar 2.0 sebagai dorongan berterusan.

Beliau mencapai keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) yang sempurna (4.0) serta keputusan 96 peratus bagi peperiksaan prauniversiti.

Cik Hannah turut dinobatkan pelajar terbaik bagi subjek Tafsir, Sastera, Politik Sejagat dan al-Quran Fiqh.

Beliau turut merupakan lulusan terbaik Madrasah Aljunied dengan keputusan IBDP cemerlang 39 mata daripada mata maksimum 45.

Selain pencapaian akademik, Cik Hannah juga berkhidmat sebagai Ketua Majlis Pelajar Ittihad Tholabah Madrasah Aljunied (ITMAJ), di mana beliau bermain peranan penting dalam menganjurkan acara dan program sekolah.

Ia termasuk mewakili khalayak pelajar apabila Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkunjung ke madrasah itu.

Beliau turut melakukan kerja sukarelawan bersama penduduk rumah penjagaan Ren Ci, anggota Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds) dan juga wanita dan kanak-kanak di bawah penjagaan Pertapis.

Menurutnya, segala usaha itu amat bermakna, kerana ia mengajar beliau bekerjasama dengan pelbagai organisasi di luar lingkungan sekolah serta mendekati lapisan masyarakat yang berbeza.

“Pengalaman semasa di sekolah turut mengajar saya agar sentiasa mencuba dan tidak sesekali takut melakukan kesilapan, kerana ia akan memperbaiki diri kita,” tambahnya.

Namun, kejayaan itu tidak datang bergolek untuk Cik Hannah, yang mengakui beliau terpaksa mengorbankan banyak masa bersama keluarganya.

“Saya amat bersyukur mereka memahami perjuangan saya dan sentiasa menyokong keperluan saya sepanjang perjalanan itu,” tambahnya.

Bagi Cik Hannah, biasiswa berprestij ini merupakan ‘batu loncatan’ utama dalam perjalanan mencapai cita-cita membimbing masyarakat Islam Singapura dengan ilmu agama.