Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gunakan baucar CDC secara berhemah, elak mentaliti topang

Ambil peluang tambah simpanan keluarga sebagai persiapan masa depan
May 18, 2025 | 5:30 AM
baucar cdc, belanja, pasar raya
Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $500 diberikan kepada semua keluarga Singapura pada 13 Mei dan bertujuan meringankan perbelanjaan keluarga di sini. - Foto ST

Satu berita yang menggembirakan ramai minggu ini pastinya ialah penerimaan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $500 yang diberikan kepada semua keluarga Singapura pada 13 Mei.

Baucar itu bertujuan meringankan perbelanjaan keluarga di sini.

Ini memandangkan warga setempat sering meluahkan isu tentang kos sara hidup yang membuat sebilangan mereka berasa terhimpit dek kenaikan harga barangan dan makanan.

Separuh jumlah baucar itu, iaitu $250, boleh digunakan di pasar raya, manakala separuh lagi boleh digunakan di gerai peniaga/pekedai di kawasan kejiranan.

Baucar itu sah hingga 31 Disember 2025.

Sudah beberapa kali baucar CDC diberikan kepada warga Singapura dan telah memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

Pertama, kepada warga yang menggunakan baucar itu untuk membeli barangan dan makanan keperluan masing-masing.

Kedua, ia memberi manfaat kepada peniaga/pekedai kecil di kawasan kejiranan yang menerima langganan daripada warga yang menggunakan baucar tersebut, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan.

Ketiga, penggunaan baucar tersebut – yang merupakan satu bentuk suntikan dana daripada pemerintah – meningkatkan kegiatan ekonomi dari segi penjualan runcit dan makanan, dan membantu merancakkan ekonomi negara.

Fasa ketujuh pemberian baucar CDC sebanyak $500 CDC itu telah diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2025 pada Februari lalu.

Selain itu, baucar CDC tambahan bernilai $300 akan diberikan pula pada Januari 2026.

Baucar CDC mula diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Singapura atas perpaduan mereka, dan juga untuk menyokong perniagaan tempatan.

Pemberian itu diteruskan selepas pandemik bagi membantu rakyat Singapura menghadapi kesan kenaikan harga barang.

Fasa keenam baucar bernilai $300 pula telah diagihkan pada Januari 2025.

Untuk rekod, sehingga 12 Mei 2025, kira-kira 97.3 peratus isi rumah telah menggunakan baucar CDC yang dikeluarkan pada Januari 2025.

Lebih $324 juta, atau 83.4 peratus daripada baucar yang digunakan pada 2025, telah dibelanjakan di gerai penjaja, peniaga dan pasar raya yang mengambil bahagian dalam skim baucar CDC itu.

Bagi baucar terbaru yang dikeluarkan pada 13 Mei ini pula, penjaja, peniaga dan pasar raya boleh meraih manfaat daripada jumlah perbelanjaan yang dianggarkan boleh mencapai kira-kira $665 juta.

Secara keseluruhan, lebih $1.92 bilion telah dibelanjakan sejak pelancaran skim baucar CDC digital pada Disember 2021.

Sejumlah $1.06 bilion telah dibelanjakan di gerai penjaja/peniaga di kawasan kejiranan, manakala lebih $857 juta dibelanjakan di pasar raya.

Berkaitan pengagihan Baucar CDC ini, Encik Wong menekankan bahawa langkah itu bukanlah langkah sekali sahaja untuk membantu rakyat Singapura menangani isu kos sara hidup.

Beliau memberi jaminan pemerintah akan terus memberi bantuan kepada warga selagi diperlukan.

Terdapat bantuan lain seperti kredit LifeSG, tokokan Edusave bagi kanak-kanak, dan rebat U-Save.

Rakyat Singapura juga akan mendapat baucar SG60 sekali sahaja untuk meraikan 60 tahun kemerdekaan Singapura, dengan mereka berumur 21 hingga 59 akan mendapat $600, manakala mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas akan mendapat $800.

Masalah kos sara hidup berlaku bukan hanya berlaku di Singapura, bahkan di seluruh dunia.

Antara punca utama adalah kadar inflasi tinggi, isu rantaian bekalan yang terjejas selepas pandemik Covid-19 dan perang Ukraine-Russia, serta keadaan geopolitik tidak menentu di beberapa kawasan dunia termasuk di Timur Tengah.

Keadaan ekonomi sejagat juga berisiko menjadi lebih buruk jika berlakunya perang dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat dan China.

Namun kita sebagai rakyat tidak harus berpeluk tubuh sehingga mempunyai mentaliti topang dengan terlalu mengharapkan bantuan pemerintah pada setiap masa dan bagi tempoh jangka panjang, termasuk terlalu bergantung kepada baucar CDC.

Skim baucar CDC itu tidak harus menjadikan kita lebih boros – membelanjakannya secara cepat dengan membeli apa barang sahaja demi ‘menghabiskan’ baucar itu.

Sebaliknya, gunakan baucar itu secara berhemah dan membolehkan kita menggunakannya bagi tempoh selama yang boleh, dan pada masa sama membolehkan kita menambah tabung simpanan keluarga.

Saya ada kenalan di negara lain yang menyifatkan baucar CDC ini sebagai langkah amat baik dan berkesan bukan sahaja dalam membantu warga, bahkan juga peniaga kecil serta ekonomi negara.

Saya bersyukur Singapura dapat terus melaksanakan skim baucar ini sejak beberapa tahun lalu memandangkan kedudukan kewangan negara ini yang kukuh, selain membolehkan warga berbelanja, berjimat dan menghadapi isu kos sara hidup.

Ini akan membolehkan warga Singapura melalui kehidupan dengan lebih yakin sedang kita menyambut SG60 – perayaan 60 tahun kemerdekaan Singapura – dan melalui tempoh 60 tahun akan datang selanjutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg