Apabila Cik Shaedah Dawood, 62 tahun, menutup gerai nasi padangnya sekitar tujuh tahun lalu, beliau membuat keputusan untuk bersara. Memandangkan beliau akan mempunyai banyak masa lapang selepas bersara, beliau mengambil langkah untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Beliau berasa sudah tiba masanya untuk beliau menceburi minatnya selepas bertahun-tahun bekerja keras sejak usia 20-an.
Ibu kepada tiga orang anak berusia 30, 27 dan 22 tahun ini pernah bertugas dalam industri perkapalan selama 20 tahun sebelum beliau berhenti bekerja pada usia 45 tahun untuk mengurus perniagaan makanan Allahyarham ibunya.
Selepas 10 tahun mengambil alih gerai nasi padang tersebut, beliau akhirnya membuat keputusan untuk melabuh tirai perniagaannya akibat kos operasi yang semakin sukar diurus.
Walaupun masa yang diluangkan di gerai makanan agak lama - sama seperti mana Cik Shaedah bekerja di industri perkapalan - beliau bertekad untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Lalu, beliau memperuntukkan masa untuk menyertai kelas Zumba.
Semasa di salah satu kelas Zumba tersebut, Cik Shaedah mendapat tahu tentang program-program di Pusat Penuaan Aktif NTUC Berhad (Pasir Ris Central). Beliau membuat keputusan untuk menjadi seorang anggota di Pusat Penuaan Aktif NTUC Berhad (Pasir Ris Central) apabila mencecah usia 60 tahun.
Cik Shaedah juga berasa selesa untuk bersara kerana beliau telah mengetepikan sekitar 10 hingga 15 peratus daripada pendapatannya setiap bulan semasa beliau bertugas dalam bidang perkapalan.
Suaminya, 63 tahun, kini masih bekerja sepenuh masa dalam industri perminyakan.
Cik Shaedah mencerminkan bagaimana persaraan boleh dianggap sebagai masa bagi warga emas menerokai minat mereka di samping mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat dengan langkah-langkah sokongan pemerintah yang sedia ada.
“Langkah-langkah sokongan pemerintah telah membantu saya bersara dengan lebih yakin,” kata Cik Shaedah.
Beliau mendapat tahu tentang langkah-langkah sokongan pemerintah melalui pelbagai wadah, khususnya menerusi panel pameran digital (DDP) dalam lif-lif flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Beliau juga berusaha mengambil tahu tentang skim-skim pemerintah yang boleh membantu meningkatkan simpanan persaraannya.
Misalnya, Cik Shaedah telah menyumbang kepada Akaun Persaraan CPF (RA) di bawah Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS), di mana beliau membuat tokokan wang tunai.
Di bawah skim MRSS, pemerintah akan memadankan tokokan wang tunai yang dibuat pencarum CPF yang layak – sedolar bagi setiap dolar – hingga $600 setahun.
Warga emas yang memerlukan lebih banyak bantuan semasa persaraan diberi jaminan akan menerima sokongan kewangan dari pemerintah.
Sebagai contoh, Cik Shaedah, telah menikmati manfaat daripada pelbagai langkah sokongan, termasuk langkah-langkah sokongan kos sara hidup yang merangkumi bayaran khas, rebat U-Save dan rebat-rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) dan langkah sokongan Pakej Jaminan (AP), pada 2024.
Beliau juga layak menerima skim Baucar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GSTV) yang menawarkan warga Singapura yang layak dengan bayaran tunai sehingga $850 untuk membantu dengan perbelanjaan kehidupan harian mereka.
Selain itu, beliau juga layak menerima Pakej Majulah, satu rangsangan tambahan untuk persaraan buat warga Singapura yang lahir pada tahun 1973 atau lebih awal.
Di bawah Pakej Majulah yang telah diberikan pada 2024, Cik Shaedah juga telah menerima Bonus MediSave yang menawarkan warga emas tokokan sehingga $2,000 dalam akaun MediSave CPF mereka, dan Bonus Simpanan Persaraan (RSB) yang menawarkan tokokan bonus CPF sekali sahaja sehingga S$1,500.
Pada 2025, Cik Shaedah menerima bayaran tunai sehingga $300 sebagai sebahagian daripada AP Bonus Warga Emas dan $150 dalam akaun MediSave CPF di bawah AP MediSave.
Isi rumah Cik Shaedah juga menerima Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $800 pada 2025 untuk membantu dengan perbelanjaan hariannya.
Cik Shaedah berasa bersyukur dengan pelbagai langkah-langkah sokongan pemerintah. Walaupun begitu, beliah masih cuba untuk menjana pendapatan dengan bekerja sambilan, di gerai makanan kawannya pada masa lapangnya.
Oleh kerana beliau merupakan warga emas yang masih bekerja, beliau telah menerima bayaran pertama Bonus ‘Earn and Save’ daripada Pakej Majulah pada Mac tahun ini.
Bonus ‘Earn and Save’ menambah simpanan persaraan warga emas yang bekerja yang layak melalui bonus CPF tahunan $400 hingga $1,000.
Dengan langkah-langkah sokongan pemerintah, Cik Shaedah rasa lebih terjamin dari segi kewangan dan beliau dapat menikmati persaraannya.
“Memastikan saya sihat dan aktif merupakan sebahagian daripada perancangan persaraan saya. Saya memutuskan untuk menurut serta dalam program-program yang ada di Pusat Penuaan Aktif NTUC Berhad (Pasir Ris Central) di mana saya berpeluang mempelajari perkara baru dan mempunyai kawan baru,” kata Cik Shaedah, yang sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan.
Beliau yang menjalani gaya hidup aktif kini menyertai kegiatan yang ada di Pusat Penuaan Aktif NTUC Berhad (Pasir Ris Central) sebanyak enam kali seminggu selama sekitar sejam setiap hari. Antara kegiatannya termasuk tarian barisan, tai chi, tarian K-pop dan ‘zumba gold’.
“Kini, saya meluangkan masa saya dengan melakukan kegiatan aktif secara fizikal dan mental supaya saya dapat memelihara kesihatan saya. Apabila saya melakukan aktiviti setiap hari, saya dapat berjumpa kawan-kawan saya dan berasa gembira,” kata Cik Shaedah.
Apabila beliau mendapat tahu tentang sembarang bengkel atau ceramah baru, beliau juga ghairah untuk turut serta. Misalnya, beliau telah menyertai ceramah anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), di mana beliau mendapat tahu bahawa beliau boleh membaca e-buku dan e-majalah menerusi aplikasi NLB.
Beliau yang menganggap pembelajaran sepanjang hayat itu penting juga telah mendaftarkan dirinya untuk mengikuti kursus membuat kuih dengan menggunakan kredit SkillsFuture sekitar tiga tahun lalu untuk mempelajari kemahiran baru.
Kini, Cik Shaedah berasa lebih gembira kerana mempunyai lebih banyak masa untuk menikmati persaraannya dengan menyertai pelbagai kegiatan, hasil daripada perancangan persaraan yang dibuat awal. Beliau hidup bersederhana dan berjimat dalam perbelanjaan harian serta bil utiliti bulanan, ini membuatnya rasa lebih yakin tentang keadaan kewangannya.
Lantaran itu, ia tidak terlalu awal bagi warga Singapura untuk mula merancang persaraan mereka sendiri. Pelbagai langkah dan program pemerintah tersedia untuk membantu warga emas bersara dengan lebih yakin.
Layari laman web, https://go.gov.sg/tfb-bh, untuk mengetahui lebih lanjut tentang sokongan dan inisiatif yang dapat membantu perancangan persaraan anda dan kunjungi salah satu pameran bergerak, “Bersama Menuju Kemajuan” atau “Together for Better”, yang diadakan di pelbagai lokasi di merata Singapura untuk memulakan perjalanan penuaan anda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg