Satu skim baucar yang membantu mengurangkan kos sewa bagi pasangan muda dan keluarga yang sedang menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka siap akan dilanjutkan selama enam bulan, iaitu sehingga akhir 2025, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 16 Jun.
Tempoh lanjutan ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 200 isi rumah.
Di bawah skim ini, HDB mengagihkan baucar Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) kepada keluarga yang layak dan sedang menyewa flat di pasaran terbuka.
Keluarga tersebut akan menerima $300 sebulan untuk menampung kos sewa dari Julai hingga Disember 2025, lapor The Straits Times.
Sebelum ini, skim tersebut hanya merangkumi tempoh menyewa sehingga Jun 2025.
Skim ini bertujuan memberikan sokongan sementara kepada keluarga yang layak menyewa bilik atau flat di pasaran terbuka, sementara HDB meningkatkan bekalan flat PPHS – iaitu unit sewa sementara untuk keluarga seperti ini.
HDB kini meningkatkan bekalan flat PPHS kepada 4,000 unit menjelang akhir 2025, berbanding hanya 800 unit pada 2021.
Langkah terkini untuk melanjutkan skim baucar sewa ini dibuat selepas kadar permohonan flat PPHS menurun dengan ketara, daripada 20 permohonan pada 2021 kepada sekitar tiga sahaja sekarang, menurut HDB pada 16 Jun.
Keluarga yang layak harus mendaftar bermula 1 Ogos, walaupun mereka telah memohon bagi fasa pertama sokongan baucar sebelum ini.
Mereka boleh menjangkakan menerima baucar bagi setiap bulan penuh tempoh penyewaan.
Untuk layak menyertai skim ini, pendapatan isi rumah bulanan tidak boleh melebihi $7,000.
Mereka juga mesti memastikan bahawa tuan rumah telah mendaftarkan perjanjian sewaan dengan HDB dan alamat dalam kad pengenalan (NRIC) telah dikemas kini.
Keluarga yang kini menyewa flat PPHS juga boleh memilih untuk menyewa di pasaran terbuka dan memohon baucar PPHS setelah menamatkan sewaan flat PPHS mereka.
Pemohon yang berminat boleh menyemak kelayakan mereka untuk menerima baucar tersebut di laman web HDB.
HDB juga menyatakan sedang merancang pelancaran lebih 130,000 flat BTO dari 2021 hingga 2027, termasuk projek dengan masa menunggu lebih singkat.
HDB menambah bahawa kadar permohonan BTO bagi keluarga pemohon kali pertama telah menurun kepada 1.5 dalam jualan pada Februari – berbanding kadar 3.7 pada 2019.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg