Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak AP, majlis bandaran manfaatkan program sukan di kawasan kejiranan 

Kemudahan sukan baru bakal dibina di kawasan perumahan
Jan 28, 2025 | 3:53 PM
Kemudahan sukan di sebelah Blok 508C Wellington Circle di Sembawang dibuka pada September 2022.
Kemudahan sukan di sebelah Blok 508C Wellington Circle di Sembawang dibuka pada September 2022. - Foto ST

Kemudahan baru di sesebuah kejiranan dapat mengeratkan hubungan antara penduduk dan memperkukuh ikatan masyarakat.

Demikian menurut beberapa Anggota Parlimen (AP) yang dihubungi akhbar The Straits Times (ST) mengenai projek di bawah Program Sukan Dalam Kawasan Kejiranan (SIP) yang mereka manfaatkan dan usahakan.

SIP sebahagian daripada Pelan Induk Kemudahan Sukan, yang antara lain bertujuan meningkatkan akses ke kemudahan sukan dengan meletakkannya dalam jarak 10 minit berjalan kaki dari kawasan perumahan menjelang 2030, kata seorang jurucakap agensi nasional Sport Singapore (SportSG).

Antara projek SIP yang akan dibuka pada 2025 ialah di Choa Chu Kang Avenue 7, yang merangkumi gelanggang bola keranjang berbumbung, sudut kecergasan dan taman permainan.

Kemudahan itu akan dibina bersebelahan dengan trek basikal motocross (BMX), yang akan menjadi sebahagian daripada Akademi BMX akan datang oleh Persekutuan Berbasikal Singapura di Brickland, lapor The Straits Times.

AP GRC Chua Chu Kang, Encik Don Wee, berkata beliau berharap penduduk di kawasan Brickland, yang mempunyai banyak keluarga muda, akan mendapat manfaat daripada pelbagai kegiatan, seperti bengkel berbasikal untuk kanak-kanak.

Pelajar di Sekolah Menengah APSN Delta yang terletak berhampiran, iaitu sebuah sekolah vokasional khas untuk mereka yang mempunyai keperluan khas, juga akan dapat bermain bola keranjang kerusi roda di gelanggang bola keranjang berbumbung di kemudahan SIP itu, kata Encik Wee.

Projek bersepadu itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2025, tambah beliau.

AP yang ditemu bual oleh ST berkata projek SIP di kawasan mereka menggunakan ruang yang kurang dimanfaatkan di kawasan perumahan awam.

AP GRC West Coast, Cik Rachel Ong, berkata bumbung tempat letak kereta di Blok 19A Dover Crescent akan diubah menjadi kemudahan yang dilengkapi dengan trek larian sepanjang 200 meter dan gelanggang serbaguna tertutup untuk sukan seperti badminton dan banyak lagi.

Cik Ong, yang berkata projek itu direka dengan perundingan bersama penduduk, berkata kerja pembinaan dijangka bermula pada April.

Sementara itu, penduduk di Zhenghua akan mendapat trek larian 400 meter yang menghubungkan Blok 615 dan 623 di Senja Road, tempat kemudahan SIP baru akan dibina.

AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Edward Chia, berkata beberapa penduduk mahu tempat latihan larian 2.4 kilometer tanpa perlu ke stadium di barat.

Projek itu termasuk pengubahsuaian gelanggang bola keranjang dan pembinaan tempat perlindungan, dengan laluan ruang permainan dan sudut kecergasan untuk orang dewasa dan warga emas.

Pembinaan dijangka bermula pada separuh pertama 2025, tambahnya.

Maklum balas positif diterima daripada penasihat akar umbi, penduduk dan pihak berkepentingan lain mengenai projek SIP yang ada, terutamanya semasa pandemik Covid-19, yang menekankan kepentingan ruang rekreasi dan sukan berdekatan rumah.

Kod QR yang terdapat di sudut kecergasan tersebut boleh diimbas untuk mempelajari teknik senaman yang betul.
Kod QR yang terdapat di sudut kecergasan tersebut boleh diimbas untuk mempelajari teknik senaman yang betul. - Foto ST

Seorang penduduk Sembawang, Encik Ansar Khan, 43 tahun, berkata pembukaan kemudahan SIP di sebelah Blok 508C Wellington Circle pada September 2022 membolehkan beliau bersenam di sudut kecergasan yang berdekatan dengan rumah.

Terdapat juga kod QR yang boleh diimbas untuk mempelajari teknik senaman yang betul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg