Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak khidmat warga emas di Kelab Masyarakat Kaki Bukit dipertingkat

Jun 8, 2024 | 3:52 PM
Penduduk mendapat bantuan bagi alat-alat digital mereka di pembukaan rasmi Kelab Masyarakat Kaki Bukit dipertingkat pada 8 Jun.
Penduduk mendapat bantuan bagi alat-alat digital mereka di pembukaan rasmi Kelab Masyarakat Kaki Bukit dipertingkat pada 8 Jun. - Foto ST

Warga emas di Kaki Bukit boleh meraih manfaat daripada pemeriksaan kesihatan dan bantuan bagi perkhidmatan digital di Kelab Masyarakat Kaki Bukit yang baru dinaik taraf.

Mereka yang mencari kerja juga boleh menerima nasihat kerjaya di sebuah hab pekerjaan baru.

Kelab masyarakat di Bedok North Street 3 yang dipertingkat itu dibuka rasmi pada 8 Jun.

Berucap di pembukaan rasmi kelab masyarakat itu, penasihat akar umbi GRC Aljunied, Encik Shamsul Kamar, berkata kerja-kerja peningkatan telah didorong keperluan penduduk yang semakin menua. 

“Peningkatan ini didorong oleh peralihan demografi di Kaki Bukit, di mana 50 peratus penduduk berusia 50-an tahun dan ke atas, dan daripada maklum balas penduduk yang dikumpulkan oleh saya dan pemimpin akar umbi Kaki Bukit,” tambah beliau. 

Penduduk juga boleh mendapatkan nasihat kerjaya di hab pekerjaan baru dan dipadankan dengan peluang pekerjaan di lebih 280 syarikat yang berbeza. 

Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang menjadi tetamu terhormat di acara itu, berkata lebih banyak pembangunan boleh dijangkakan di Kaki Bukit pada tahun-tahun mendatang. 

“Poliklinik Kaki Bukit yang baru, Hospital Besar Timur (EGH) dan Hospital Masyarakat Timur (ECH) akan memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk, terutama warga emas.

“Dalam jangka masa panjang, apabila Pangkalan Udara Paya Lebar dipindahkan, kita boleh membangunkan semula bandar-bandar di sekitar untuk menyediakan lebih banyak kemudahan untuk penduduk, termasuk di Kaki Bukit,” kata beliau. 

Warga emas boleh mendapatkan bantuan daripada duta-duta digital dengan menggunakan telefon bimbit mereka di pejabat digital baru yang dikendalikan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Warga emas berpendapatan rendah pula boleh mendapatkan bantuan untuk memohon pelan telefon bijak bersubsidi di bawah inisiatif Akses Mudah Alih IMDA untuk warga emas. 

Cik Ng Nak Kee, mantan pemilik gerai pasar yang telah bersara, berkata beliau menantikan untuk mendapatkan bantuan menggunakan telefon bimbit. 

Beliau yang berusia 70 tahun itu berkata: “Kadangkala apabila saya ingin membaca berita dalam talian atau menggunakan Facebook, saya tidak terlalu pasti di mana hendak klik kerana terlalu banyak butang. Jadi, ia lebih mudah bagi saya untuk meminta bantuan di Kelab Masyarakat, kerana saya hanya perlu berjalan kaki selama lima minit sahaja dari rumah saya.”   

Pemeriksaan kesihatan bagi warga emas juga akan diadakan di Kelab Masyarakat atau Jawatankuasa Penduduk (RC) setiap dua bulan. 

Agensi Penjagaan Bersepadu telah bekerjasama dengan pelbagai RC di Kaki Bukit dan Pusat Penuaan Aktif untuk menyediakan penilaian kesihatan sedemikian bagi warga tua. 

Di bawah Projek Pemeriksaan Warga Emas (PSS) – sebuah program Pemeriksaan Fungsi yang bertujuan memperbaiki mutu kehidupan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas – warga emas boleh mendapatkan pemeriksaan mata, telinga dan mulut dengan harga $5 dan ke bawah. 

Berucap di pembukaan Kelab Masyarakat, DPM Heng mengucapkan terima kasih kepada penasihat akar umbi di GRC Aljunied – Encik Shamsul, Encik Victor Lye, Encik Chua Eng Leong, Cik Chan Hui Yuh dan Encik Alex Yeo. 

Beliau berkata: “Penasihat akar umbi memainkan peranan penting. Mereka mendengar maklum balas dan keprihatinan penduduk dan memberi maklum balas secara langsung kepada Pemerintah. Dengan cara ini, Pemerintah dapat memberi respons dan berkhidmat kepada rakyat kita dengan lebih baik.”     

DPM Heng menambah bahawa apabila terdapat keperluan yang khusus untuk masyarakat, penasihat akar umbi, bersama-sama dengan kakitangan di Persatuan Rakyat, juga menghimpunkan masyarakat untuk menghasilkan penyelesaian. 

“Jadi kita perlukan lelaki dan wanita yang baik untuk maju ke hadapan. Lelaki dan wanita yang mempunyai integriti, kecekapan dan dedikasi untuk membuat perubahan dan memperbaiki kehidupan rakyat Singapura dan membawa Singapura ke hadapan dalam pusingan seterusnya,” tambah beliau.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg