Satu daya usaha baru yang menyelaras dan memanfaatkan rangkaian sosial sedia ada – seperti kumpulan minat dan kumpulan senaman – telah dilancarkan bagi menggalak lebih ramai rakyat Singapura mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Dikenali sebagai Movements for Health (M4H) atau Gerakan Untuk Kesihatan, daya usaha serata negara itu merupakan kerjasama antara Transformasi Jagaan Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOHT), Tote Board serta badan amal berdaftar, The Majurity Trust (TMT).
Kumpulan minat di bawah M4H akan diberikan akses mendapat peluang mengasah kemahiran, mencari sumber dan berkongsi amalan terbaik mereka selain melaksanakan idea inovatif agar menjadi satu penyelesaian dalam masyarakat.
Boon Lay telah dipilih untuk menjadi tapak pelaksanaan pertama bagi M4H.
Menyampaikan ucapannya di Karnival Boon Lay Sihat yang diadakan di Kelab Masyarakat Boon Lay pada 1 Jun, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata daya usaha M4H itu dapat membantu penduduk dan kumpulan masyarakat agar mengambil sikap lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Ini akhirnya menyumbang kepada masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan.
“Menjadi sihat bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga mengenai penjagaan pencegahan. Kita tidak boleh mencapai ini jika kita melakukannya dengan sendiri.
“Sebaliknya, kita perlu bekerjasama di peringkat nasional dan masyarakat tempatan untuk menangani faktor sosial, alam sekitar dan tingkah laku yang mempengaruhi kesihatan kita,” katanya.
Semasa acara itu, Encik Lee, yang juga Menteri bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial dan Penasihat Organisasi Akar Umbi (GRO) GRC West Coast, menyertai sekitar 500 penduduk dan rakan kongsi dalam membuka tirai Bulan Kesihatan dan Kesejahteraan Boon Lay yang jatuh pada Jun.
Inisiatif Boon Lay Sihat ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran dan budaya yang menyokong para penduduk untuk mencapai dan mengekalkan gaya hidup sihat menerusi pelbagai kegiatan yang memberi tumpuan kepada kesihatan.
Ia merupakan kerjasama antara MOHT, Boon Lay GRO, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), dan disokong oleh rakan kerjasama masyarakat Boon Lay.
Selain pelancaran M4H, Boon Lay GRO juga telah bekerjasama dengan rakan kongsi mereka untuk menyediakan perlindungan vaksinasi terhadap papilomavirus manusia (HPV) yang bersubsidi tinggi kepada wanita berusia 27 hingga 45 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah.
Penduduk Boon Lay merupakan yang pertama di Singapura untuk mendapat manfaat daripada inisiatif penjagaan masyarakat itu, yang disokong oleh SATA CommHealth dan MSD Pharma (Singapura).
Di samping itu, NUHS juga telah bergiat aktif di kawasan Boon Lay dengan menjalankan inisiatif Sihat Bersama (Healthy Together), yang memberi kuasa kepada penduduk untuk menjaga kesihatan mereka.
Ciri utama termasuk akses kepada maklumat kesihatan, alat penilaian kendiri dan program penjagaan masyarakat.
Encik Lee melahirkan harapan bahawa inisiatif itu akan memudahkan penduduk untuk kekal cergas dan sihat.
“Kami berharap dengan menyediakan sumber dan struktur bantu diri serta memupuk minda yang sihat di Boon Lay, penduduk akan mendapatinya lebih mudah untuk kekal cergas dan sihat.
“Saya sangat terharu dengan perkongsian dan inisiatif untuk membina Boon Lay yang sihat dan penyayang apabila penduduk kami diberi inisiatif bukan sahaja untuk menjaga kesihatan mereka sendiri, malah menjaga sesama penduduk dalam kalangan masyarakat.
“Bersama-sama, kita boleh memberi tumpuan kepada kesihatan pencegahan dan membina Singapura yang lebih sihat,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg