Lebih banyak rumah akan dibina bersebelahan stesen MRT Pasir Ris, di tapak lama Pusat Tukaran Bas Pasir Ris.
Selain itu, pemerintah turut merancang membina sebuah hab masyarakat baru di pusat bandar tersebut.
Berdasarkan Draf Pelan Induk 2025 Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), rumah-rumah tersebut akan dibina di atas tapak seluas kira-kira 2.9 hektar yang telah ditetapkan untuk pembangunan kediaman, dengan tingkat pertama diperuntuk bagi kegunaan komersial.
Pemerintah juga sedang meneliti rancangan bagi pembinaan satu kawasan kejiranan baru di Pasir Ris, bersebelahan Sungei Loyang, di tapak yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan.
“Kajian alam sekitar sedang dijalankan bagi memastikan biodiversiti kawasan itu dipertimbangkan dalam rancangan pembangunan masa depan,” kata URA di pameran draf pelan induk yang berlangsung sehingga 29 November di Pusat URA.
Pelan induk itu, yang menjadi panduan pembangunan negara bagi 10 hingga 15 tahun akan datang, dijangka berkuat kuasa pada akhir 2025.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberitahu The Straits Times (ST) pada 26 September, bahawa kerja-kerja merobohkan tapak lama pusat tukaran bas itu dijangka bermula menjelang akhir 2025.
Proses itu akan dilakukan secara berperingkat bagi mengehadkan gangguan dan memastikan keselamatan, kata pihak berkuasa itu.
Menurut Ketua Pegawai Penyelidikan di Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, pembangunan masa depan di Pasir Ris mungkin akan mendapat manfaat daripada semakan had ketinggian bangunan berhampiran lapangan terbang yang diumumkan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 5 Ogos.
Sebagai contoh, tapak seluas 2.9 hektar bersebelahan stesen MRT Pasir Ris itu terletak sekitar 3.8 kilometer dari landasan Lapangan Terbang Changi, sekali gus membolehkan bangunan dibina setinggi sehingga 60 meter.
Sebelum semakan itu, had yang dibenarkan ialah 45 meter.
Encik Mak berkata tapak itu boleh menampung antara 580 dengan 650 unit kondominium, dengan ruang runcit seluas 18,000 hingga 23,000 meter persegi.
Selain digunakan untuk bas awam, tapak lama Pusat Tukaran Bas Pasir Ris turut berfungsi sebagai tempat mengambil dan menurunkan anggota Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Pada 27 April, pusat tukaran bas itu dipindahkan ke pembangunan bersepadu yang turut merangkumi sebuah poliklinik, pusat beli-belah Pasir Ris Mall, kondominium Pasir Ris 8, dan sebuah plaza awam yang bakal dibina.
Perkhidmatan bas untuk anggota tentera kini beroperasi dari pusat khas yang dinamakan BMT@Pasir Ris, yang dibuka pada 25 April.
Pusat tukaran bas yang mula beroperasi pada Disember 1989 itu terkenal dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada seni bina Cina, Melayu dan India.
Sekitar separuh daripada pusat tukaran bas asal telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan bersepadu baru.
Masih belum jelas sama ada mana-mana bahagian reka bentuk unik pada separuh bahagian pusat tukaran bas asal yang tinggal itu akan dikekalkan atau dirobohkan.
Lokasi bagi hab masyarakat baru di pusat bandar Pasir Ris masih menunggu kajian lanjut, dan akan diumumkan kemudian, kata jurucakap URA kepada ST pada 26 September.
Hab masyarakat lazimnya dibina sebagai pembangunan bersepadu yang merangkumi kemudahan runcit, sosial dan riadah.
Buat masa ini, beberapa kemudahan yang selalunya terdapat dalam hab sebegini wujud dalam bangunan berasingan sekitar kawasan Pasir Ris.
Ia termasuk Pusat Penjaja Pasir Ris Central yang dibuka pada 2018, dan Pusat Sukan Pasir Ris yang dibuka pada 2011, menurut dokumen perolehan terbitan Majlis Sukan Singapura (SportSG) pada Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg