Lebih ramai individu Melayu/Islam telah memaklumkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bahawa mereka telah membuat perancangan harta untuk menyumbang kepada entiti seperti masjid, madrasah dan wakaf selepas kematian.
Jumlah individu itu meningkat lebih seganda dalam sembilan bulan pertama 2025 berbanding 2024 – daripada lebih 55 individu pada 2024 kepada lebih 120 individu pada 2025.
Perancangan harta itu dilakukan melalui penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), penamaan insurans dan juga wasiat.
Kesedaran terhadap perancangan legasi dalam kalangan masyarakat Islam itu amat memberangsangkan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, ketika berucap di acara pembukaan rasmi Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) di Singapore Expo pada 27 September.
“Pencapaian ini juga hasil kerjasama rapat Muis dengan agensi-agensi pemerintah serta kumpulan karyawan dan golongan asatizah.
“Saya mengalu-alukan penyertaan lebih ramai golongan karyawan dan asatizah untuk membimbing masyarakat Islam kita tentang perancangan legasi,” kata beliau.
Namun begitu, meskipun tahap kesedaran telah meningkat, lebih 55 peratus umat Islam di Singapura masih belum membuat perancangan harta mereka, menurut Muis.
Walaupun perancangan untuk anggota keluarga harus diutamakan, Dr Faishal turut menggalak masyarakat mempertimbangkan pemberian harta seperti sumbangan kepada badan-badan Melayu/Islam, masjid, madrasah, atau wakaf dan dana masyarakat lain.
“Perancangan legasi Islam bukan hanya satu kewajipan kewangan, namun tanggungjawab rohani dan moral untuk umat Muslim membuat pilihan yang disengajakan tentang cara kita meninggalkan harta untuk mewujudkan kebaikan berpanjangan bagi generasi seterusnya.
“Di Singapura, kami mahu memastikan setiap Muslim – sama ada muda atau tua – diperkasa untuk membuat pilihan betul dengan alat yang betul dan sokongan untuk mula merancang legasi mereka awal,” kata beliau.
Sejak 2024, Muis telah menganjurkan beberapa usaha dalam membantu masyarakat Islam dalam perancangan harta yang bukan sahaja terhad kepada faraid, malah merangkumi alat-alat perancangan yang selaras dengan syariah.
Ini termasuk pelancaran Bulan Wakaf yang menampilkan siri acara sepanjang Ogos 2024 untuk meningkatkan kesedaran mengenai wakaf, khususnya Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).
Sementara itu, Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW), yang dipengerusikan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, pula telah mendekati lebih 2,000 anggota masyarakat melalui acara dan dalam pelbagai segmen masyarakat.
Muis pula melancarkan kempen ‘Dah Rancang Dah Senang’ pada September 2025 yang bertujuan menjadikan perancangan harta lebih mudah diakses bagi masyarakat Islam.
Acara ILPV pada 27 September itu turut menyaksikan pelancaran buku panduan ‘The Final Amanah – Guiding Singaporean Muslims on Loss and Legacy’ yang dibangunkan ILPW.
Mereka yang berminat dengan buku panduan itu boleh ke https://go.gov.sg/the-final-amanah.
Ia mengandungi sumber dan maklumat yang menyeluruh, termasuk perancangan sebelum kematian, cara menangani ehwal selepas seseorang meninggal dunia, dan ketetapan agama dalam perancangan legasi.
Acara itu juga menampilkan satu zon di mana para hadirin boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mengambil langkah dalam menyelesaikan alat perancangan legasi mereka dengan bimbingan profesional.
Ini termasuk penamaan CPF, penamaan insurans, perancangan penjagaan lanjut dan pensijilan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), yang disokong agensi pemerintah seperti MyLegacy oleh LifeSG, Lembaga CPF, Pejabat Penjaga Awam (OPG) dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).
Dua forum utama yang menangani isu penting dalam perancangan legasi turut diadakan di acara itu – satu yang membantu keluarga dengan situasi rumit seperti mualaf dengan saudara-mara bukan Islam dan hartanah di negara lain, dan satu lagi yang menjelaskan hak kewangan wanita dalam Islam dan salah tanggapan tentang jantina dan faraid.
“Saya berharap dengan adanya usaha-usaha ini, semua keluarga Islam di Singapura akan lebih yakin untuk membuat perancangan awal tentang aset-aset mereka dan membantu melindungi orang-orang tersayang,” kata Dr Faishal.
“Dengan adanya perancangan yang khusus dan teratur, kita juga dapat memberi ketenangan minda kepada keluarga apabila kita tiada kelak kerana apabila kita dah rancang, semuanya dah senang,” tambahnya.
Ketua WMS, Dana Masyarakat di Muis, Cik Nur Ayuni Affandi Salleh, berkata dalam acara ILPV kali ini, Muis telah bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah melalui pelbagai usaha pendidikan awam untuk memberikan panduan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perancangan harta.
“Dengan ini, ia juga menjadi peluang untuk keluarga menimba ilmu bersama, mendapatkan juga nasihat pakar dan melengkapkan diri dengan pelbagai pilihan perancangan di bawah satu bumbung,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg