Sesi ketiga daripada siri empat bahagian Webinar Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang dianjurkan dengan kerjasama Berita Harian (BH) telah berlangsung pada 17 September.
Bertemakan ‘Membina Jambatan Pahala Selepas Kita Tiada’, sesi kali ini menekankan kepentingan perancangan kewangan yang wajar dilakukan ketika seseorang masih hidup.
Anggota Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) merangkap Pengarah Eksekutif Andalus Corporation, Ustaz Fathurrahman Dawoed; serta Timbalan Pengarah Dasar dan Pembangunan Ugama (Fatwa), Muis, Ustazah Raihanah Halid, dijemput berkongsi pandangan mereka sebagai anggota panel.
Lebih 60 peserta turut hadir menyertai webinar tersebut yang dikendalikan Timbalan Editor Berita BH, Cik Nur Adilah Mahbob.
Dalam laporan BH pada 29 Ogos, Ustaz Fathurrahman berkata sesetengah anggota masyarakat Islam tidak menyedari kesannya jika urusan harta tidak dirancang awal.
Lantas, beliau menyeru agar anggota masyarakat Melayu/ Islam terus merenung usaha-usaha yang wajar dijalankan selagi masih hidup demi kesejahteraan dunia dan akhirat semasa sesi soal jawab (Q&A) webinar itu.
Sesi webinar terakhir bertajuk ‘Panduan Penting Menulis Wasiat Dalam Islam’ bakal diadakan pada 29 Oktober.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg