Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai pekerja kurang upaya, matang diambil bekerja

Nov 28, 2024 | 5:13 PM
(Gambar hiasan) Kadar pengambilan pekerja bagi individu kurang upaya berusia 15 hingga 64 tahun meningkat daripada 28.2 peratus pada 2019 kepada 33.6 peratus pada 2024.
(Gambar hiasan) Kadar pengambilan pekerja bagi individu kurang upaya berusia 15 hingga 64 tahun meningkat daripada 28.2 peratus pada 2019 kepada 33.6 peratus pada 2024. - Foto ST

Lebih ramai individu kurang upaya kini dalam tenaga kerja, dengan kadar pengambilan pekerja bagi mereka yang berusia 15 hingga 64 tahun dalam golongan itu telah meningkat daripada 28.2 peratus pada 2019 kepada 33.6 peratus pada 2024.

Peningkatan dalam kadar itu mencerminkan lebih banyak sokongan disediakan untuk majikan yang menggajikan dan melatih individu kurang upaya melalui beberapa skim.

Demikian menurut laporan awal tenaga kerja Singapura yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 November.

Ini seperti Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya, sebuah skim pengimbangan gaji untuk menyokong penggajian individu kurang upaya, dan Program Open Door, yang menggalak majikan menggajikan dan melatih individu kurang upaya.

Pada September, pasukan petugas Amalan Pekerjaan Inklusif (TIE) mengumumkan saranan dalam usaha meningkatkan kadar pengambilan pekerja bagi individu kurang upaya kepada 40 peratus menjelang 2030, dengan tambahan 4,500 individu kurang upaya dijangka memasuki tenaga kerja.

Laporan MOM itu menunjukkan kadar pengambilan pekerja individu kurang upaya meningkat daripada 28.2 peratus pada 2019 kepada 29 peratus pada 2020; 30.1 peratus pada 2021; 31.4 peratus pada 2022; dan 32.7 peratus pada 2023.

Sementara itu, kadar pengambilan pekerja bagi golongan warga emas berusia 65 tahun dan ke atas juga bertambah kepada 31.7 peratus pada 2024, menyusuli kemerosotan selepas dua tahun.

Kadar pada 2021 ialah 31.7 peratus, kemudian turun kepada 31 peratus pada 2022 dan 30.6 peratus pada 2023.

Menurut laporan, lebih ramai warga emas diambil bekerja dalam pelbagai industri, terutama khidmat pentadbiran dan sokongan, khidmat makanan dan minuman, dan pengangkutan serta penyimpanan.

“Sektor ini cenderung menggajikan warga emas yang kurang berpendidikan.

“Namun, oleh kerana kohort warga emas pada masa depan dijangka lebih berpendidikan, mereka kemungkinan diambil bekerja dalam industri dengan pertumbuhan tinggi,” kata laporan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg