Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Kadar penyertaan tenaga kerja turun buat tiga tahun berturut-turut

Nov 28, 2024 | 2:18 PM
Kadar penyertaan tenaga kerja Singapura merosot buat tiga tahun berturut-turut pada 2024 sedang bilangan warga emas di negara ini semakin meningkat.
Kadar penyertaan tenaga kerja Singapura merosot buat tiga tahun berturut-turut pada 2024 sedang bilangan warga emas di negara ini semakin meningkat. - Foto hiasan ST

Jumlah penduduk Singapura yang bekerja atau aktif mencari pekerjaan kekal tinggi, namun ia merosot buat tiga tahun berturut-turut pada 2024, sedang bilangan warga emas di negara ini semakin meningkat.

Meskipun kadar penyertaan tenaga kerja meningkat bagi kebanyakan kumpulan usia, kadar keseluruhan bagi penduduk berusia 15 tahun dan ke atas turun kepada 68.2 peratus pada 2024 daripada paras tertinggi 70.5 peratus pada 2021.

Namun, kadar di Singapura itu kekal lebih tinggi jika dibandingkan bandar utama di negara lain yang juga menghadapi isu penduduk semakin menua, seperti Tokyo di Jepun, Berlin di Jerman dan Madrid di Sepanyol.

Demikian menurut perangkaan laporan awal tenaga kerja Singapura yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 November.

Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa dengan penduduk yang semakin menua di sini, nisbah jumlah penduduk yang menyokong golongan warga emas dari segi ekonomi dan sosial juga kian turun.

Jumlah penduduk berusia 20 hingga 64 tahun kepada setiap penduduk warga emas berusia 65 tahun dan ke atas telah berkurang hampir separuh sepanjang dekad lalu – daripada 6 pada 2014 kepada 3.5 pada 2024.

Bahkan, nisbah itu diramalkan turun lagi kepada 2.7 pada 2030.

Bagaimanapun, jika pekerja bukan penduduk diambil kira, nisbah itu meningkat kepada 5.2, menurut laporan.

Encik Ang Boon Heng, pengarah di jabatan penyelidikan dan statistik tenaga manusia di kementerian itu, menjelaskan bahawa tenaga kerja asing membantu menyokong nisbah sokongan warga emas kerana ia akan mengurangkan beban cukai yang ditanggung penduduk.

Ditemui media semasa lawatan ke Hospital Masyarakat Yishun, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata ini menggariskan mengapa Singapura perlu mengambil “pendekatan amat pragmatik” untuk kekal terbuka kepada pekerja asing bagi mengekalkan sokongan untuk penduduk yang semakin menua.

Beliau menambah bahawa pemerintah akan terus menyokong warga emas yang ingin dan dapat terus bekerja.

Ditanya jika pemerintah akan merancang dasar tenaga kerja asing dalam usaha mengurangkan beban cukai, di samping kemahiran yang diperlukan, Dr Tan berkata tenaga kerja tempatan mesti kekal berdaya saing meskipun sedang pekerja asing dibawa masuk untuk membantu mewujudkan pekerjaan, mengisi kekurangan dan berkongsi beban cukai.

“Apa yang kami lakukan sekarang adalah untuk memastikan kita terus berdikari, dan ini perlu datang daripada pendekatan holistik yang amat menyeluruh terhadap tenaga kerja kita yang semakin menua,” kata beliau.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas membentuk 18.9 peratus dalam tenaga kerja pada 2024 berbanding 14.6 peratus bagi penduduk berusia bawah 30 tahun.

Sedekad lalu, peratusan itu adalah 12.3 peratus bagi warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, dan 18.8 peratus bagi penduduk berusia bawah 30 tahun.

Sepanjang sedekad lalu, jumlah penduduk Singapura yang bekerja atau aktif mencari pekerjaan telah meningkat bagi kebanyakan kumpulan usia, namun kenaikan tertinggi dilihat dalam kalangan warga emas berusia 65 hingga 69 tahun dan 70 hingga 74 tahun.

Bagi kumpulan usia 65 hingga 69 tahun, kadar itu naik daripada 41.2 peratus pada 2014 kepada 50.5 peratus pada 2024.

Bagi kumpulan usia 70 hingga 74 tahun pula, ia meningkat daripada 25.7 peratus pada 2014 kepada 35 peratus pada 2024.

Kadar pengambilan pekerja turut meningkat dalam kumpulan usia yang menyaksikan peningkatan dalam kadar penyertaan tenaga pekerja, yang menunjukkan “pasaran pekerja dapat menyerap kemasukan penduduk yang meningkat ke dalam tenaga kerja”, kata laporan itu.

Kadar bagi penduduk berusia 25 hingga 54 tahun naik daripada 86.8 peratus pada 2023 kepada 87.7 peratus pada 2024, manakala bagi mereka yang berusia 55 hingga 64 tahun, ia naik daripada 70 peratus pada 2023 kepada 70.4 peratus pada 2024.

Laporan itu menyatakan bahawa kenaikan keseluruhan dalam kadar pengambilan pekerja bagi penduduk berusia 25 hingga 64 tahun dipacu oleh peningkatan dalam bilangan wanita yang bekerja, yang naik daripada 76.6 peratus pada 2023 kepada 78.3 peratus pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg