Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai pekerja migran luang masa di pusat riadah berbanding Little India

MOM: Kesemua sembilan pusat riadah pekerja migran catat peningkatan tahunan dalam purata jumlah pengunjung
Feb 24, 2025 | 5:03 PM
Pusat Riadah Woodlands yang seluas padang bola sepak dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pekerja migran – termasuk pasar mini, gerai makanan, kedai telefon, perkhidmatan kiriman wang dan kemudahan sukan. 
Pusat Riadah Woodlands yang seluas padang bola sepak dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pekerja migran – termasuk pasar mini, gerai makanan, kedai telefon, perkhidmatan kiriman wang dan kemudahan sukan.  - Foto ST

Semakin ramai pekerja migran memilih pusat riadah khusus bagi memenuhi keperluan asas dan waktu lapang kerana kemudahan serta kepelbagaian kegiatan yang disediakan.

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kesemua sembilan pusat riadah pekerja migran di sini mencatat peningkatan tahunan dalam purata jumlah pengunjung bulanan dari 2020 hingga 2024.

Menurut data MOM, setiap pusat menerima purata lebih 80,000 pengunjung setiap bulan pada 2024.

Selama hampir sedekad, penyelia pembinaan dari India, Encik Selvan Kasi, 43 tahun, meluangkan hujung minggunya di Little India. 

Namun, sejak berpindah ke dormitori berhampiran Pusat Riadah Woodlands pada 2012, beliau lebih gemar meluangkan masa di sana, yang hanya 10 minit perjalanan dari dormitorinya.

Seperti Little India, kawasan seluas padang bola sepak itu dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pekerja migran – termasuk pasar mini, gerai makanan, kedai telefon, perkhidmatan kiriman wang dan kemudahan sukan. 

“Saya sekarang berkumpul dengan rakan yang juga tinggal di utara (di Pusat Riadah Woodlands) kerana ia lebih dekat dengan tempat tinggal kami berbanding kawasan Tekka. 

“Kami juga boleh mendapatkan barangan runcit India, menambah nilai kad SIM dan menyelesaikan urusan lain di sini,” kata Encik Kasi.

Jurucakap MOM berkata jumlah pengunjung pusat riadah belum mencapai tahap sebelum Covid-19.

Pada Jun 2024, MOM telah mengumumkan rancangan untuk melantik pihak luar bagi mengendalikan pusat-pusat itu dan menaik taraf pusat lama supaya kemudahan di sana dilengkapi dengan peralatan baru.

Ketua kumpulan jaminan, penjagaan dan penglibatan MOM, Encik Tung Yui Fai, ketika itu berkata kementerian mahu pusat riadah menjadi “tempat pilihan” bagi pekerja pada hari rehat mereka.

Buat masa ini, NTUC dan MOM masing-masing mengendalikan tiga pusat riadah.

Sementara itu, Pusat Pekerja Migran (MWC), badan bukan pemerintah (NGO) yang berkaitan dengan NTUC, mengendalikan sebuah pusat di Soon Lee Road di Boon Lay – pusat riadah pertama yang dibina pada 2009.

Dua pusat lain – di Woodlands dan Kaki Bukit – dikendalikan secara privet.

Pusat riadah pekerja migran mencatat peningkatan kunjungan dengan pusat di Soon Lee Road menerima purata 150,000 pengunjung bulanan pada 2024.

Menurut pengarah segmen pekerja migran NTUC, Encik Michael Lim, jumlah itu meningkat 25 peratus berbanding 120,000 pengunjung bulanan antara Julai dengan Disember 2023.

Beliau berkata MWC telah memperkenalkan kemudahan baru dan meningkatkan program yang dianjurkan sepanjang tahun sebagai respons kepada maklum balas daripada pekerja migran – seperti pembukaan gimnasium baru pada Jun 2024 dan rancangan membina sebuah pusat perubatan.

Dengan lebih ramai pekerja mengunjungi pusat riadah, kawasan di Little India kini semakin sunyi.

Ini menyebabkan penurunan jualan sebanyak 20 hingga 30 peratus bagi perniagaan yang menyediakan khidmat buat pekerja migran di sana.

Jurucakap MOM juga menyatakan bahawa selepas Covid-19, jumlah pekerja migran yang mengunjungi Little India berkurang. 

Walaupun kumpulan sokongan mengakui pusat rekreasi telah memainkan peranan penting dalam menyediakan prasarana, perkhidmatan dan kemudahan riadah berhampiran dormitori pekerja migran, mereka menambah bahawa kawasan seperti Little India tetap menjadi ‘hab masyarakat de facto’ bagi pekerja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg