Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai pelajar keluarga pendapatan rendah SUSS nikmati pengajian percuma

Aug 8, 2025 | 6:28 PM
Profesor Tan Tai Yong, Presiden SUSS
Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong, mengumumkan skim bantuan yang dipertingkatkan hasil sumbangan derma $7.5 juta pada 8 Ogos. - Foto ZAOBAO

Lebih ramai pelajar Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) daripada keluarga berpendapatan rendah akan menikmati pengajian percuma apabila universiti itu mengembangkan program sokongan kewangannya.

Mulai Ogos, yuran pengajian semua pelajar sambilan dan sepenuh masa dengan pendapatan per kapita $1,100 dan ke bawah, akan ditanggung oleh pihak universiti, dengan syarat mereka mengekalkan purata mata gred minimum 2.0.

Sebelum ini, sokongan tuisyen penuh hanya diberi kepada pelajar sepenuh masa dengan pendapatan per kapita $750 ke bawah, dan tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik atau lebih kecil.

Lebih 100 pelajar sepenuh masa telah meraih manfaat daripada daya usaha itu, lapor The Straits Times (ST).

Presiden SUSS, Profesor Tan Tai Yong, mengumumkan skim yang dipertingkatkan itu hasil sumbangan $7.5 juta oleh bekas pendidik dan dermawan, Dr Lillyn Teh.

Menurut Profesor Tan, kriteria kelayakan lebih luas akan membolehkan SUSS menjangkau semua pelajar yang memerlukan bantuan kewangan.

Lebih 800 individu, 500 pelajar sepenuh masa dan 300 sambilan dijangka meraih manfaat setiap tahun.

Beliau berucap di karnival tahunan, Raise SUSS, yang diadakan di kampus itu di Clementi, pada 8 Ogos.

“Ia mengenai mengiktiraf pelajar yang menunjukkan ketabahan, mereka yang terus maju walaupun menghadapi cabaran kewangan atau peribadi, dan yang percaya kepada kuasa pendidikan untuk mengubah kehidupan,” kata Profesor Tan.

Mantan Presiden yang juga Canselor SUSS, Puan Halimah Yacob, menerima sumbangan daripada Dr Teh di majlis tersebut.

Dengan sumbangan Dr Teh, berserta pembiayaan awal daripada syarikat pelaburan Quantedge Foundation, SUSS kini merupakan satu-satunya universiti autonomi di Singapura yang memberikan sokongan sedemikian kepada pelajar sambilan yang layak, kata Profesor Tan.

Pelajar sambilan membentuk sebahagian besar pelajar di SUSS, tambahnya.

Sumbangan tersebut akan membantu mewujudkan anugerah berasaskan merit dan nilai baru bagi membantu pelajar memerlukan.

Sebagai contoh, Anugerah ‘Pay It Forward’ menyediakan sehingga $2,000 untuk pelajar membiayai barangan keperluan seperti komputer riba, program luar negara dan kegiatan kokurikulum.

Bagi setiap $1 yang didermakan oleh pelajar, alumni atau kakitangan SUSS, Dr Teh akan menyumbang $2.

Bersama pemadanan derma oleh Kementerian Pendidikan (MOE), setiap dolar yang diberikan akan memberi impak $6, kata Profesor Tan.

Menurut Dr Teh, beliau memilih untuk bekerjasama dengan SUSS kerana visi dan nilainya, seperti komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan nilai sosial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg