Lebih ramai pelajar dewasa kini mendaftar untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IHL) kerana program-program ditawarkan dalam bentuk yang menyokong pembelajaran lebih fleksibel.
Ini termasuk menawarkan pentauliahan bagi kelayakan lebih kecil, atau micro-credentials, yang membolehkan pelajar menambah kemahiran khusus dan menggabungkan pentauliahan ini dengan kelayakan lain.
Pada 12 Julai, Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, menyatakan penyertaan sedemikian meningkat 40 peratus dalam tempoh lima tahun lalu, lapor The Straits Times (ST).
Semasa berucap di SkillsFuture Festival × Universiti Nasional Singapura (NUS) 2025, Dr Janil berkata sekitar 188,000 peserta mengikuti program pendidikan berterusan dan latihan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan SkillsFuture Singapura (SSG) di IHL pada 2024
Jumlah ini lebih tiga kali ganda berbanding peserta latihan prapekerjaan.
Peningkatan ini berlaku kerana semakin ramai yang mahu menjalani latihan dan lebih banyak peluang kini tersedia untuk meningkatkan kemahiran mereka, kata Dr Janil.
IHL menawarkan kebanyakan program kelayakan dalam bentuk micro-credentials untuk pembelajaran yang lebih fleksibel, menurut Dr Janil.
“Ini membolehkan pekerja dewasa mengimbangi kerja dan peningkatan kemahiran,” katanya lagi.
Selepas program kerja-sambil-belajar diperkenalkan, sekitar 1,300 lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), iaitu 10 peratus setiap kohort, telah menyertai program diploma tersebut dan mencapai hasil pekerjaan yang memberangsangkan.
Beliau menyatakan bahawa Institut Teknologi Singapura (SIT) ditubuhkan untuk menyediakan laluan ijazah bagi lulusan politeknik, manakala Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) memberi peluang yang sama kepada pelajar dewasa.
Beliau menekankan bahawa peluasan kadar penyertaan sepanjang hayat bertujuan menyediakan lebih banyak tempat ijazah yang dibiayai awam untuk pelajar dewasa.
Dr Janil berkata IHL kini menawarkan lebih banyak program pendek seperti Siri SkillsFuture untuk memenuhi keperluan kemahiran baru dalam bidang digital, penjagaan dan ekonomi hijau.
Pada 2025, 54 kursus baru akan dilancarkan di bawah Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture bagi membantu golongan pertengahan kerjaya beralih sektor atau meningkatkan peluang pekerjaan.
Satu kenyataan media bersama oleh NUS dan SSG pada 12 Julai menyatakan bahawa kursus baru dari NUS dan SSG ini direka untuk membantu golongan pertengahan kerjaya menyesuaikan diri dengan permintaan kerja yang berubah-ubah.
Ini termasuk menceburi sektor baru, memulakan perniagaan, atau meningkatkan kemahiran dalam bidang baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan media imersif.
Kursus-kursus ini termasuk latihan untuk menjadi pakar pastri dan bakeri, serta karyawan kesihatan dan kesejahteraan.
Dr Janil berkata penawaran baru ini bermakna lebih ramai rakyat Singapura dalam pertengahan kerjaya boleh mendapat manfaat daripada program ini.
Mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas layak menerima subsidi yuran kursus sebanyak 90 peratus dan boleh menggunakan Kredit SkillsFuture sebanyak $4,000 (Pertengahan Kerjaya) untuk menampung baki bayaran sendiri.
Mereka yang menjalani latihan sepenuh masa juga boleh memohon Elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture.
Beliau menggesa IHL agar terus mempertingkatkan usaha mereka dalam inisiatif SkillsFuture selari dengan perkembangan pesat teknologi AI.
Kurikulum dan bahan latihan AI perlu dikemas kini dengan lebih pantas, manakala tenaga pengajar dewasa juga harus terus meningkatkan kemahiran mereka agar selaras dengan keperluan industri dan kaedah latihan terkini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg