Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) akan membuka sekolah kerja sosial baru, bagi memperkukuh program sedia ada dan memperkenal kurikulum yang diperbaharui.
Ia juga merupakan usaha bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja dan kelesuan dalam sektor kerja sosial.
Dengan menawarkan peluang melanjutkan pengajian atau kerjaya yang lebih luas selepas menerima ijazah, Sekolah Kerja Sosial dan Pembangunan Sosial itu dijangka siap dibina pada suku ketiga 2025, kata Provos SUSS, Profesor Robbie Goh.
Sekolah baru yang terletak di kampus SUSS di Clementi itu akan menjadi sekolah SUSS keenam.
Dekannya ialah Dr Vincent Ng, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allkin Singapore, badan bukan pemerintah (NGO).
Mengulas tentang pembukaan sekolah baru itu, Profesor Goh memberitahu media pada 21 Mac bahawa program kerja sosial sedia ada akan diperluas bagi merangkumi lebih banyak pengkhususan.
Meski tiada kursus baru diperkenalkan, beliau berkata kurikulum yang ditawarkan akan diperbaharui agar ia “berorientasikan masa depan dan melatih pekerja sosial (generasi) akan datang”.
Ia membolehkan pelajar mengambil pengkhususan dalam pelbagai bidang seperti perlindungan, penjagaan warga emas, perkhidmatan untuk golongan kurang upaya, kerja sosial keluarga, serta keadilan juvenil dan pemulihan.
Kurikulum itu juga akan merangkumi kursus peringkat siswazah bagi membantu pekerja sosial mengembangkan kerjaya mereka.
Terdapat juga kursus bagi individu yang ingin beralih ke bidang lain dalam kerja sosial atau mempelajari kemahiran baru seperti kaunseling, psikologi atau kemahiran digital.
Pelajar juga akan mendapat pengalaman latihan amali yang dipertingkat, melalui kerjasama universiti dengan rakan industri.
SUSS menawarkan dua laluan pengkhususan di peringkat possiswazah, iaitu dasar dan pengurusan; serta amalan klinikal profesional, lapor The Straits Times (ST).
Bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat, SUSS akan terus menawarkan peluang mempelajari kemahiran baru bagi mereka yang menceburi bidang kerja sosial, melalui program siswazah bertingkat.
Universiti itu juga akan mengekalkan program sepenuh masa Sarjana Muda Kerja Sosial dan juga program sambilan, iaitu Sarjana Muda Kerja Sosial, Sarjana Kerja Sosial dan Diploma Siswazah dalam Kerja Sosial.
Pada masa ini, SUSS menerima 250 pelajar untuk program sarjana muda dan possiswazahnya dalam kerja sosial, serta menyokong peningkatan kemahiran dan peralihan individu pertengahan kerjaya ke sektor kerja sosial.
Menurut Profesor Goh, akan berlaku kehilangan lebih 200 profesional kerja sosial menjelang 2030 akibat kadar keluar masuk pekerja yang tinggi.
“Dalam sektor kerja sosial, terdapat isu kelesuan, kehilangan arah pada tahap tertentu... serta kurangnya kesedaran tentang peluang, sokongan dan minat dalam kalangan orang awam,” katanya.
Profesor Goh berharap penubuhan sekolah itu memberi peluang kepada SUSS agar dapat “berbuat lebih banyak untuk membantu sektor yang sangat penting ini”.
SUSS merupakan salah satu daripada dua universiti di Singapura yang menawarkan program sarjana muda dan possiswazah dalam kerja sosial, selain Universiti Nasional Singapura (NUS).
Penubuhan sekolah baru itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengukuhkan sektor perkhidmatan sosial.
“
“Dalam sektor kerja sosial, terdapat isu kelesuan, kehilangan arah pada tahap tertentu serta kurangnya kesedaran tentang peluang, sokongan dan minat dalam kalangan orang awam.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg