Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai wanita, golongan muda berbakti dalam lembaga pentadbir masjid

Aug 30, 2025 | 6:23 PM
Shahrez Shah Rahmansa Marican, Zulraidah Mohamed Arsad, Muhammad Haikal Mohamed Harun
(Dari kiri) Anggota LPM Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Shahrez Shah Rahmansa Marican; Setiausaha Masjid Al-Mawaddah, Cik Zulraidah Mohamed Arsad; dan Naib Pengerusi Kedua Masjid Kassim, Encik Muhammad Haikal Mohamed Harun antara anggota LPM yang dilantik di majlis pelantikan di Masjid Al-Ansar pada 30 Ogos. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Hampir 240 anggota Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) telah dilantik untuk berkhidmat di 18 masjid di daerah timur dalam satu upacara pelantikan di Masjid Al-Ansar di Bedok pada 30 Ogos.

Dengan pelantikan tersebut, ia bermakna jumlah anggota LPM kini telah meningkat sebanyak 37 peratus berbanding penggal sebelumnya, dengan 81 anggota berkhidmat buat kali pertama.

Dalam kenyataannya, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata profil anggota LPM terus menarik kepakaran dan bakat daripada pelbagai bidang termasuk peguam, jurutera, karyawan IT, pendidik dan usahawan, di samping para asatizah.

“Muis juga mendapati peningkatan penyertaan wanita dan golongan muda, dengan 40 peratus anggota LPM berusia bawah 45 tahun.

“Ini mencerminkan falsafah inklusif yang membantu masjid kekal relevan serta bersedia menghadapi cabaran akan datang,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir di upacara pelantikan itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Mengalu-alukan kehadiran lebih ramai karyawan, wanita dan golongan muda dalam LPM, Dr Faishal berkata kemahiran, tenaga dan komitmen mereka akan memperkukuh tadbir urus masjid selain memastikan sumber digunakan dengan bijak.

Tambahnya, ini dapat memastikan keberkesanan program dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura yang semakin berkembang dan pelbagai.

“Pelantikan ini merupakan perkembangan positif yang ketara sepanjang beberapa dekad apabila kita melihat profil sukarelawan berubah.

“Mereka membawa bersama kepakaran dan keinginan untuk menyumbang, sekali gus memperkukuh semangat kesukarelawanan di Singapura, khususnya dalam sektor masjid,” ujar Dr Faishal.

Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen berkata perkembangan tersebut adalah bukti kemajuan yang menunjukkan masjid mampu menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk menyumbang.

“Gabungan kukuh antara kepakaran profesional dengan ilmu agama dalam LPM ini akan menjadi pemangkin penting dalam mempertingkat mutu kepimpinan di masjid kita,” katanya ketika berucap di upacara tersebut. 

Antara anggota LPM yang baru dilantik ialah Encik Shahrez Shah Rahmansa Marican, 37 tahun.

Beliau berhasrat memanfaatkan latar belakangnya dalam bidang latihan dan transformasi digital dalam peranan barunya bersama LPM Masjid Alkaff Kampung Melayu yang terletak di Bedok Reservoir Road.

“Saya menantikan peluang untuk menyumbang dalam bidang yang paling sesuai dengan kepakaran saya, khususnya dalam latihan, pembangunan dan transformasi digital,” katanya. 

Selain beliau, Cik Zulraidah Mohamed Arsad, 52 tahun, seorang sukarelawan veteran yang kini telah berkhidmat dalam LPM selama tiga penggal, pula dilantik sebagai setiausaha LPM Masjid Al-Mawaddah yang terletak di Sengkang.

Menggariskan antara perkembangan yang telah dicapai sepanjang dua penggal beliau berkhidmat bersama LPM Masjid Kassim sebelum ini, beliau berkata:

“Kumpulan fokus daerah timur – meliputi bidang Kehidupan Agama Masyarakat, Kebaikan Sosial, dan Kecemerlangan Pertubuhan – telah berjaya memenuhi keperluan jemaah sambil membina budaya responsif yang berteraskan masyarakat. 

“Memandang ke hadapan, inisiatif yang memberi tumpuan kepada belia dan warga emas akan menyediakan masjid dengan panduan strategik bagi perancangan program, memastikan keperluan golongan itu dipenuhi dengan tujuan dan kerelevanan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg