Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) dilantik oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi setiap masjid untuk menguruskan penyelenggaraan dan operasi masjid.
Sebagai Lembaga Pengelola, LPM bertanggungjawab ke atas pengurusan keseluruhan masjid mengikut dasar, arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh Muis serta peraturan berkanun yang lain.
Antara anggota sukarelawan LPM ialah Cik Zulraidah Mohamed Arsad, seorang penyelaras perubatan berusia 50 tahun yang telah berkhidmat selama enam tahun di Masjid Kassim.
Tiga tahun daripada tempoh itu, beliau memegang jawatan sebagai setiausaha di masjid tersebut.
Cik Zulraidah mengetahui tentang LPM melalui kakaknya yang bertugas di salah sebuah masjid di Singapura.
Kakaknya memberitahu beliau tentang keperluan relawan LPM di masjid dan menggalakkan beliau agar membuat permohonan.
Pengalaman dalam pengurusan pertubuhan mendorong beliau menjadi sukarelawan LPM.
“Saya dapat berkongsi pengalaman saya di LPM. Saya harap sumbangan saya ini mampu memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Singapura,” jelas Cik Zulraidah, yang telah menganggotai LPM sejak 2019.
Menurutnya, lebih ramai individu harus digalakkan menyertai LPM, terutamanya mereka yang berbakat dalam bidang teknologi digital.
“Masjid-masjid di Singapura kekurangan bakat khusus seperti teknologi digital. Dalam era di mana pendigitalan menjadi satu kebiasaan, masjid memerlukan bakat ini untuk membentuk program pendidikan agar tidak ketinggalan dan dapat menghasilkan program yang bermutu seiring dengan teknologi semasa,” kata Cik Zulraidah.
Beliau turut menyatakan bahawa terdapat ramai individu Muslim yang berbakat, berkemahiran serta mempunyai kepakaran relevan, yang boleh menyumbang kepada pembangunan masjid melalui LPM.
“Mereka boleh menyumbangkan sesuatu dengan menjadi sukarelawan LPM. Jika anda mempunyai apa yang diperlukan, boleh sertai dan menjadi relawan LPM.
“Kemahiran dan kepakaran ini boleh memberikan kesan positif kepada masyarakat Islam di negara ini,” jelasnya lagi.
Seorang lagi sukarelawan LPM ialah Encik Muhammad Haikal Mohamed Harun, 39 tahun, dan menjadi anggota LPM sejak 2019.
Encik Haikal merupakan Penolong Pengarah Kanan dalam Perancangan Strategik dan Pembangunan Pertubuhan di jabatan awam.
Beliau telah berkhidmat di Masjid Al-Islah sebagai sukarelawan LPM selama enam tahun dan mula mengenali LPM sejak zaman menuntut di universiti dan aktif di Masjid Tentera.
“Seorang aktivis masyarakat telah mengenalkan saya kepada LPM. Setelah bekerja, saya dipelawa menyertai sukarelawan LPM.
“Ia juga sebagai ‘penyambung’ khidmat sukarelawan saya, sejak pada zaman kampus,” ujar Encik Haikal.
Pemilihan Encik Haikal untuk menyertai LPM adalah kerana masjid merupakan tumpuan utama masyarakat Islam daripada pelbagai peringkat umur.
Ini memudahkan beliau mendekati dan berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat, seterusnya membantu pihak masjid merancang program-program yang bersesuaian.
Encik Haikal berpendapat bahawa institusi masjid dapat diperkukuhkan bukan sahaja dengan kepakaran ilmu agama asatizah, malah dengan sumbangan kepakaran para karyawan daripada pelbagai bidang.
Sektor masjid boleh dipertingkatkan dari segi pembangunan sosial, ekonomi, perancangan masa panjang, pendidikan, dan pengurusan sumber manusia.
Beliau menggalakkan asatizah yang bertugas di luar sektor masjid serta karyawan lulusan universiti pengajian Islam dan agama agar turut menganggotai LPM memandangkan kepakaran mereka amat diperlukan.
Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri laman https://www.muis.gov.sg/


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg