Topik diikuti
Pergi ke BHkuRobot hantar makanan, ronda Daerah Digital Punggol
Robot hantar makanan, ronda Daerah Digital Punggol
Robot hantar makanan, ronda Daerah Digital Punggol
Sebanyak lapan firma termasuk syarikat gergasi tempahan pengangkutan dalam talian, Grab dan penyedia perkhidmatan keselamatan, Certis, akan menerajui usaha baru untuk mengerahkan penggunaan robot bagi pelbagai peranan.
Ini termasuk mengautomasikan kerja pembersihan, rondaan dan penghantaran makanan di tapak ujian robotik pintar terbesar di Singapura, Daerah Digital Punggol.
Ujian berskala besar dijangka bermula menjelang akhir 2026 bagi menguji langkah keselamatan kecerdasan buatan (AI) serta merangka peraturan untuk penerapan secara meluas.
Mengumumkan perkara ini pada 20 Mei, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata:
“Robot boleh membantu pekerja kita mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan ke kawasan yang pada masa ini kurang mendapat liputan.”
Menegaskan peranan Daerah Digital Punggol sebagai perintis tapak ujian AI, Cik Teo menambah bahawa peluasan rangkaian rakan kongsi industri yang menggunakan ekosistem daerah itu untuk menguji dan melakukan eksperimen akan dapat memperluaskan lagi penerimaan serta penerapan teknologi tersebut.
“Kami akan mewujudkan platform data bersepadu, merangka senario ujian boleh diperbaharui serta peraturan yang membolehkan robot beroperasi dengan selamat di daerah itu.”
Cik Teo berkata demikian pada hari pertama Sidang Kemuncak Asia Tech x edisi keenam yang diadakan di hotel Capella Singapore, Sentosa, dari 20 hingga 22 Mei.
Acara itu dihadiri oleh mereka yang menceburi industri teknologi global dan penggubal dasar.
Lapan firma yang bekerjasama dengan agensi pemerintah serta Institut Teknologi Singapura (SIT) di tapak ujian ini ialah Grab, DHL, Certis, syarikat pemula tempatan QuikBot, firma perisian FieldAI dan Thoughtworks, serta pengeluar robot Slamtec dan Unitree.
Kumpulan robot berkenaan yang tidak didedahkan jumlahnya itu akan beroperasi di kawasan awam seperti laluan pejalan kaki, lobi bangunan pejabat dan kampus universiti.
Ini merupakan keadaan persekitaran realistik yang akan membolehkan robot berautonomi serta sistem AI diuji dan diperkemas secara berterusan, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), perancang dan pemaju bandar JTC, serta SIT dalam satu kenyataan bersama pada 20 Mei.
“Robotik dan AI bersepadu secara fizikal atau ‘Embodied AI’ menandakan peralihan besar dalam pembangunan AI, yang melangkaui alat berasaskan skrin kepada sistem fizikal yang mampu memikir, membuat pertimbangan, dan bertindak dalam dunia nyata,” tambah mereka dalam kenyataan tersebut.
“Evolusi ini dilihat sebagai perintis AI seterusnya, dengan potensi untuk mengubah industri serta membentuk semula kehidupan seharian.”
‘Embodied AI’ merujuk kepada sistem fizikal yang disepadukan dengan AI bagi membolehkannya berinteraksi dengan dunia nyata.
Sebagai contoh, robot yang menghantar makanan dan bungkusan dijangka dapat meningkatkan kecekapan penghantaran fasa pertama dan terakhir bagi rakan penghantar.
Robot yang melakukan rondaan keselamatan dan pembersihan juga akan melengkapi operasi kakitangan sektor tersebut dengan bekerja di luar waktu pejabat, meronda kawasan terpencil, serta membersihkan satu kawasan dengan lebih kerap.
“Seterusnya, langkah ini akan membolehkan para pekerja mengambil alih peranan bernilai lebih tinggi seperti penyeliaan, pengurusan operasi, dan penyampaian perkhidmatan,” kata IMDA, JTC, dan SIT.
Sebagai permulaan, pengendali robotik dijangka bekerjasama dengan IMDA, JTC, SIT, Grab, dan DHL untuk merangka bersama keadaan tapak ujian bagi perkhidmatan robotik yang daya maju secara komersial di kawasan awam.
Robot yang dikerahkan akan dikehendaki memenuhi piawaian keselamatan serta garis panduan operasi yang ditetapkan bagi memastikan manusia dan robot dapat hidup bersama dengan selamat.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memberi pengecualian kepada tapak ujian ini di bawah Akta Mobiliti Aktif, supaya pengendali robot boleh menguji pelbagai senario di laluan awam dalam daerah berkenaan.
Daerah Digital Punggol, yang menyaksikan kemasukan kumpulan penyewa pertamanya pada 2025, sememangnya sudah dilengkapi dengan sistem pengendalian seluruh estet yang disepadukan dengan semua robot untuk bergerak di jalanan serta menggunakan lif.
