Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih sokongan bagi ibu bapa, penjaga bantu gaya hidup bebas dadah

Usaha termasuk sedia bahan latihan lebih ringkas, boleh diakses dalam talian pada bila-bila masa
Mar 10, 2025 | 8:17 PM
Berucap semasa Persidangan Pejuang SGBebasDadah di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 10 Mac, Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, menegaskan bahawa dakwaan mengelirukan mengenai ganja perlu diperbetulkan. Beliau menekankan bahawa bukti saintifik tentang kesan ganja adalah jelas dan tidak boleh disangkal.
Berucap semasa Persidangan Pejuang SGBebasDadah di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 10 Mac, Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, menegaskan bahawa dakwaan mengelirukan mengenai ganja perlu diperbetulkan. Beliau menekankan bahawa bukti saintifik tentang kesan ganja adalah jelas dan tidak boleh disangkal. - Foto ST

Pada 2025, Singapura akan menambah usaha untuk menangani kebimbangan yang semakin meningkat tentang penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda.

Antara usaha yang dijalankan termasuk kerjasama dengan ibu bapa untuk memperkasa mereka melalui pendidikan antidadah dan pencegahan di rumah.

Ini menjadi semakin penting memandangkan golongan muda kini mempunyai “sikap yang lebih permisif terhadap dadah”, sebahagiannya akibat maklumat salah mengenai bahan seperti ganja.

Demikian diketengahkan oleh Menteri Kedua Ehwal dalam Negeri, Cik Josephine Teo, pada Persidangan Pejuang SGBebasDadah yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 10 Mac.

Melakarkan beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan kepada Pejuang SGBebasDadah yang hadir dalam persidangan tersebut, Cik Teo, selaku tetamu terhormat, berkata:

“Anda akan mahu menyokong ibu bapa dan penjaga dengan menyediakan sumber yang dapat membantu mereka menjadi penyokong gaya hidup bebas dadah dalam keluarga dan masyarakat mereka.

“Tinjauan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Ncada) 2023 menunjukkan bahawa belia yang pernah berbincang dengan ibu bapa atau penjaga mereka mengenai bahaya dadah lebih berhati-hati dan kurang terdorong untuk mencubanya.

“Justeru, ini akan menjadi salah satu keutamaan kami.”

Selain itu, usaha lain termasuk menghasilkan bahan latihan yang lebih ringkas dan boleh diakses secara dalam talian pada bila-bila masa, serta memastikan kesedaran awam mengenai bahaya dadah terus diperkukuh, antaranya melalui sambutan Hari Peringatan Mangsa Dadah yang kedua.

Bertema, ‘Pejuang Perubahan: Singapura Tanpa Dadah’ (Champions for Change: Singapore Without Drugs), persidangan itu bertujuan melengkapkan Pejuang SGBebasDadah dengan pandangan mengenai trend dan strategi dadah sejagat dan serantau untuk pencegahan yang berkesan.

Diadakan sejak 2024, persidangan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Antara Kementerian (IMC) mengenai Pencegahan Dadah untuk Belia, dan disokong oleh Ncada dan Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana).

Walaupun keadaan dadah kekal stabil, beliau menekankan bahawa dasar dadah yang ketat di Singapura kekal penting dalam mencegah penyalahgunaan dadah dan memastikan keselamatan awam.

“Ini tidak mungkin berlaku tanpa usaha antidadah yang berterusan dan disengajakan. Kami menggubal undang-undang yang tegas dan menguatkuasakannya dengan ketat.

“Kami mendidik orang ramai tentang kemudaratan dadah dan menyediakan rawatan berasaskan bukti dan pemulihan bagi penyalah guna dadah,” ujar Cik Teo, yang juga Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas persidangan itu, Profesor Psikobiologi daripada Sekolah Perubatan Harvard, Profesor Bertha K. Madras, menyokong pendirian toleransi sifar Singapura terhadap dadah, dalam membantu mengurangkan pendedahan belia dan mencegah kemudaratan jangka panjang.

Membuat perbandingan dengan keadaan dadah di Amerika Syarikat, Profesor Madras, berkata:

“Saya rasa jika dasar toleransi sifar berkesan dan dapat mengurangkan penyalahgunaan dadah kepada tahap yang serendah mungkin, maka ia adalah dasar yang baik.

“Ini kerana apa yang dilakukan mengurangkan jumlah golongan muda yang terdedah kepada dadah, yang menggunakan dadah dan yang mungkin akhirnya menghadapi kesan jangka panjang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg